Tuesday, May 31, 2016

Merah Al Hambra

Seluruh kota kota besar seperti Cordoba, Granada, Toledo dan Madrid di Sepanyol mempunyai titian sejarah tersendiri. Bermula dari Cordoba penyebaran Islam terus berkembang menguasai Granada yang di warnai dengan kemegahan Istana Al Hambra (gambar bawah) atau sekarang di kenali dengan Red Castle. Lokasinya sangat strategik terletak di atas bukit berlatar belakangkan banjaran gunung menghijau. Pada waktu malam kerlipan lampu memancarkan cahaya gemerlapan menerangi istana bersejarah ini. Kota ini di hias indah dengan taman-taman bunga berbagai warna kelihatan tersusun dan terpelihara dengan baik. Istana Al Hambra yang dalam Bahasa Arab bererti Merah atau Istana Merah mempunyai ciri Islami yang sungguh memukau pengunjung kerana arkitekturnya terlalu halus dan seni dengan nama nama Allah terukir indah di setiap sudut di dalamnya. Al Hambra menjadi tempat kediaman raja-raja yang memerintah Granada di era kegemilangan Islam namun kini semuanya menjadi bahan sejarah yang terlalu sukar di lupakan. Sayangnya gambar gambar dari kamera tangan tidak begitu terang kerana waktu malam tambah lagi terlalu ramai pelawat yang mengunjungi Istana bersejarah ini. Pemerintahan Islam terakhir yang menguasai Sepanyol khususnya Granada ialah Dinasti Nasrid pada tahun 1238- 1492. Sejak itu lenyap lah sebuah pemerintahan Khalifah selama lebih 500 tahun di bumi ini yang di bawa oleh Tariq Ibn Ziyad dalam mengembangkan misi suci ke bumi Andalus sejak 711 M bersama sama tenteranya seramai 7,000 orang menyeberangi Selat Gibralta menuju Cordoba.







Istana Al Hambra terletak di atas bukit








Senja di Granada













Jalan berdekatan hotel penginapan

















Indahnya Al Hambra

Istana Al Hambra yang tersergam indah menjadi lambang dan mercu tanda keagungan pemerintahan Islam di Granada. Keindahannya di sinari dengan ayat-ayat suci memenuhi ruang di dalam istana yang sangat artistik melambangkan kedaulatan Islam yang mendominasi Granada.Walau pun masih di kekalkan kalimah suci di dalam istana namun sedikit demi sedikit telah hilang keasliannya. Institusi gereja (red castle) telah mempengaruhi kesucian istana yang bersejarah ini dengan menukar namanya kepada Red Castle. Kalimah Allah terukir indah dengan lampu-lampu cendelier menerangi istana ini. Sepanjang pengalaman saya mengunjungi beberapa negara seperti United Kingdom, Holland, Belgium kemudiannya benua Australia, New Zealand, Korea, Taiwan dan Vietnam, ini lah "pengembaraan" yang benar-benar meruntun hati kerana berkesempatan langsung melihat ruin ruin  peninggalan Islam di depan mata. Jatuhnya empayar Andalucia yang megah sejak berkurun terlalu berat untuk di terima namun itu lah hakikat yang berlaku. Benar lah firman Tuhan : " Apabila manusia bersyukur Allah akan tambah nikmatNya tetapi apabila manusia itu kufur, tunggu lah azab Allah tersangat pedih" .
Image result for lain syakartum la aziidannakum
Kepedihan kerana hilangnya  iman dari dada umat Islam sehingga Masjid bertukar menjadi Gereja, Istana bertukar Cathedral dan kini  telah di warta sebagai warisan pelancongan dunia. Dari segi rasionalnya Islam tidak mungkin hilang kerana telah bertapak kukuh sejak berabad tetapi itulah hakikatnya yang berlaku. Mengambil ibrah melalui sejarah, umat Islam perlu meletakkan Allah dan Rasul Saw melebihi segalanya kerana setiap peristiwa yang berlaku pastinya bermula dengan sebab dan akibat. Rapuhnya hubungan dengan Allah, renggangnya sosialisasi kehidupan  manusia sehingga berlakunya sengketa berterusan sesama sendiri akhirnya lenyap rasa tauhid kepada Tuhan. Kemusnahan perabadan dan punahnya sesebuah pemerintahan kerana kelalaian dan ketamakan sewaktu di puncak kuasa. Apa yang berlaku di Barat tidak mustahil terjadi di Timur jika kita lalai menjaga hak-hak Allah dalam menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah dengan penuh jujur dan ikhlas semata-mata mendambakan ridha Tuhan. Radhi tubillahi rabba wabil Islami deena. Wabimuhammadin Nabiyyan Warasuula. 

Image result for Radhitu Billahi wabil Islami Diina












Sayunya hati melihat kalimah Tauhid yang menyinari Al Hambra
menjadi pusat perabadan Islam di benua Eropah suatu ketika dulu.






















Tembok luar Istana Al Hambra

 









Berehat sebentar melepas lelah.

Masjid Granada

Kami menjamak solat Maghrib dan Isya' di Masjid Granada yang tenang dan bersih bersama masyarakat Islam di sekitar ini yang kebanyakan mereka dari Morocco dan tempatan. Laungan azan hanya terdengar di sekitar Masjid sahaja. Kami saling berta'aruf untuk mengenal lebih dekat sesama saudara Muslim. Selesai solat Ahmad Zaruk pemandu pelancong membawa kami makan malam di Dewan Masjid Granada yang indah dan kemas. Keakraban saudara seiman cukup terasa walau pun baru berjumpa. Mereka menyediakan makanan dan minuman dengan penuh rasa ikhlas kepada kami melalui memek muka dan santunan yang baik meladeni tetamu. Alhamdulillah.


















Mehrab Masjid Granada

Mengabadi kenangan di Masjid Granada

Taman Al Hambra

Di antara tempat yang menarik ialah Taman Al Hambra Granada. Berbagai jenis spesis bunga bungaan menghiasi taman ini. Pelawat dari berbagai negara tidak putus-putus mengunjungi Taman ini yang sangat sinonim dengan sejarah Al Hambra. Berpuluh-puluh bas setiap hari membawa pelancong ke sini menikmati keindahan alam lingkungan yang sungguh menyegar minda.






























































Antara jenis bunga di Taman Al Hambra






























































Aneka bunga di Taman Al Hambra

Sekitar Granada

Sudah menjadi resam orang perempuan tidak akan puas jika tidak membeli dan berbelanja. Granada kotanya bersih dan agak sibuk. Sambil menunggu isteri bersama rakan-rakan membeli buah tangan saya di sapa sepasang suami isteri dari Belanda. Mereka bertanya dari mana saya kata dari Malaysia Kuala Lumpur.Mereka begitu teruja mendengar Kuala Lumpur kerana pernah melawat Penang beberapa kali. Lagi rancak berbual bila saya mengatakan pernah ke Amsterdam ,Rotherdam dan Madu Rodam beberapa tahun lalu.Kami bersalaman setelah isteri saya memanggil untuk bersama sama rombongan ke restaurente Nasi Arab tidak jauh dari deretan kedai. Sepanjang dua malam di sini kami mengunjungi tempat-tempat menarik sekitar Granada. Kesan peninggalan silam masih terdapat di tengah tengah kota yang suatu ketika dahulu menjadi tempat persinggahan para musafir yang datang ke sini. Gerbang  berbentuk arca Islam masih utuh di lestari (Gambar bawah ) kendati pun sudah berabad usianya. Ukiran ayat-ayat suci memenuhi setiap lengkung dan sudut menggambarkan Granada suatu ketika dulu sebuah kota Islam yang terkemuka. Lokasinya di tengah bangunan dan pasaraya yang sibuk. Tempat wudhu' masih kelihatan dengan baik di tengah halaman penempatan sementara ini. Tinggalan sejarah ini menjadi simbol kedaulatan Pemerintahan Ummayah yang menyinari Granada sejak berkurun.


Arca yang terukir nama nama Allah












Tempat wudhu' masih di pelihara





Hebatnya Islam di era Umayah
















Sumber : Google You Tube
 

  Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG
Segambut, Park City Kuala Lumpur.
Rabu 1 Jun 2016  





bersambung.. menuju Toledo

Sunday, May 29, 2016

Menjejaki Cordoba : siri kedua

Kegemilangan peradaban silam di bumi Andalucia, kini Sepanyol sangat termasyhur dalam sejarah. Islam yang telah bertapak selama 800 tahun lebih di seluruh jazirah ini pada zaman pemerintahan Khalifah Umayyah menjadi mercu tanda keagungan Al Qur'an dan Sunnah Baginda Nabi Saw di Eropah. Cordoba yang nama asalnya Qurtuba menjadi simbol kekuatan Islam yang di tandai dengan kemegahan Masjid Cordoba di Andalucia. Kalimah Tauhid terpahat kukuh di tiang Masjid. Tiada Tuhan Yang Berhak di sembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad Saw ialah Pesuruh Allah.  Masjid ini sangat cantik dan terindah di dunia yang menjadi tempat perkembangan ilmu dan tamaddun Islam sejak berkurun. Apabila jatuhnya kerajaan umayyah di Andalucia, Masjid ini telah bertukar menjadi cathedral. Antara Masjid dan Gereja menjadi tempat para wisatawan di seluruh dunia  mengunjungi peninggalan pusaka kegemilangan Islam ini. Kini Masjid Cordoba telah di wartakan sebagai pusat warisan pelancungan dunia oleh UNESCO.Nama sahaja Masjid tetapi bertukar sebagai tempat pelancungan sermata-mata , tidak boleh bersolat sunat atau menjalankan sebarang aktiviti keagamaan. Pemandangan sekitar Cordoba sungguh cantik dengan bunga-bungaan berbagai warna menghiasi sepanjang jalan. Tata hias kota yang tersusun indah kelihatan bersih dan segar, sesegar udaranya yang sejuk dan nyaman. Pemerintahan Islam telah membina jambatan merentasi sungai dari kompleks Masjid Cordoba hingga ke kota ini. Deretan kedai cenderamata terdapat di setiap sudut bangunan. Paling sedih melihat ayat-ayat Al Qur'an Al kareem tertulis di baju T shirt, piring, bahan-bahan kaca yang di jual oleh pemilik kedai bukan Islam.

Mengabadi kenangan di luar perkarangan
Masjid Cordoba yang tenang 

Sayu dan hiba

Gambar-gambar berlambang salib terdapat di dinding dinding Masjid yang boleh di saksikan dengan jelas oleh setiap pelawat. Pengunjung di larang memakai topi memasuki  Masjid. Setiap pengunjung di kenakan bayaran sekitar Euro 10 atau lebih (kurang ingat)  untuk memasuki ke dalam Masjid. Hati saya bertambah sayu bila memasuki Masjid ini, melihat kehalusan dan keindahan arkitekturnya persis Masjid Nabawi di Madinah. Mehrabnya masih kekal dan tiang-tiangnya terukir dengan kalimah Allah yang masih utuh. Perasaan sayu semakin bercampur hiba tanpa di sedari titisan air jernih menuruni pipi bila melihat mehrab yang cukup indah di hiasi ukiran ayat ayat Allah menjadi tempat sujud Imam semasa memimpin solat suatu ketika dulu. Allahu Akbar. Menjejak Cordoba dengan penuh hiba, lenyapnya peradaban di bina sejak berabad kerana tamak, perebutan kuasa sehingga lalai dan alpa kepada Allah SWT Tuhan Yang Berhak di Sembah. Semuanya kini menjadi tinggalan  sejarah yang suatu ketika dahulu Islam berdiri megah di Eropah. Selama ini saya hanya mendengar cerita tentang Masjid Cordoba kini seperti tidak percaya berada di depan mata.Selama sehari semalam berada di sini rasanya kurang puas untuk menyelusuri sejarah peradaban silam yang telah hilang di mamah zaman. Kawasan hijau halaman luar di hiasi dengan pokok pokok tamar sangat sinonim dengan Masjid sebagai pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan, kesenian dan kebudayaan Islam sehingga ramai melahirkan para intelektual dan cendekiawan Muslim. Beberapa nama tokoh Islam terkemuka seperti Ibnu Rush pakar Matematik dan ahli perundangan Islam lahir di kota Qurtuba @ Cordoba yang oleh orang Sepanyol terkenal dengan Averroes, Al Qurtubi ,Thufail Al Qisi dilahirkan di Granada terkenal sebagai tokoh Falsafah Islam yang hebat. Demikian sedikit rentetan peristiwa yang boleh menjadi ibrah kepada kita betapa pentingnya memelihara kedaulatan Agama Allah untuk terus bersinar menjadi rahmat ke setiap penjuru  alam.
Sumber You tube

















 


Sightseeing Cordoba
Pada malamnya kami di bawa oleh Ahmad Zaruk (gambar) pemandu pelancung ke Restaurente Palestine untuk makan malam dalam kawasan yang tidak berapa jauh dari Masjid Cordoba. Makanan dan layanan yang baik oleh saudara seagama menyebabkan kami rasa seperti berada di bumi sendiri. Cita rasa makanan dan minuman yang enak dan segar menyelerakan anggota rombongan terutama saya. Ciri-ciri rekabentuk keaslian Palestine menjadi identiti khas pemilik restaurente ini sambil memutarkan lagu-lagu qasidah Arab yang menyamankan bagi mengisi halwa telinga kami. Teruja melihat keindahan hiasan dalaman bercirikan budaya Arab Palestine, rakan rakan mengabadikan kenangan di setiap sudut restaurante dengan penuh bergaya. Selesai menjamu selera kami ke hotel yang tidak berapa jauh dari kompleks Cordoba. Hotel Colon tempat menginap walau pun tidak begitu elegan tetapi cukup untuk melelapkan mata sebelum meneruskan pariwisata ke suatu tempat yang tidak kurang sejarahnya iaitu Al Hambra Granada. Pergerakan dari satu tempat ke satu hotel memunggah beg beg besar berisi pakaian dan barangan keperluan tidak berasa kepenatan apa lagi berjalan kaki sejauh lebih 5 km sehari dalam usia kami yang melewati lima puluhan sungguh memeranjatkan. Dari segi adatnya kami tidak mampu berbuat demikian, namun itu lah realitinya. Terima kasih Tuhan Yang Maha Pengasih Maha Penyayang memberi kekuatan kepada anggota rombongan hingga sampai ke tempat tujuan. Keriuhan tawa hilai dengan telatah lucu anggota rombongan cukup menghilangkan rasa penat, terutama kisah mencari botol untuk ke bilik air dan lawak spontan saya " Visitas guidas" yang membuat Professor Dr Abd Muin ketawa sakit perut.

 
















Restaurente Palestine



















Muzium El Azahara


Perjalanan dari Cordoba ke Granada selama lebih dua jam melalui kawasan hijau berbukit di penuhi dengan zaitun dan tin sepanjang jalan. Rombongan berhenti seketika di Muzium El Zahrah. Muzium ini menyimpan seribu kenangan mengenai peradaban Islam yang pernah bertapak di sini. Terletak di sebuah kawasan berbukit, luas hijau dan tenang, El Zahrah menjadi tumpuan pelancung seantero dunia.Muzeum ini menyimpan seribu peristiwa yang berlaku semasa zaman kemegahan Islam di Cordoba. Di sekelilingnya banyak di tanam dengan pokok pokok zaitun dan tin yang subur. Kira-kira 2 kilometer dari sini kami di bawa melihat kesan tinggalan sejarah yang sungguh meruntuh hati.Tapak bangunan istana yang luas dengan bilik-bilik berlatarbelakangkan penorama indah menjadi saksi keagungan Islam pada masa silam. Tembok dan rangka bangunan yang masih tersisa menjadi bukti bumi El Azahara penuh dengan siraman wahyu Tuhan pada ketika dulu. Ruin-ruin tinggalan sejarah menjadi saksi kemegahan Kota El Azahara yang kaya dengan tamaddun Islam sehingga terkenal di seluruh Eropah. Kini hanya tinggal sebuah lukisan rasa yang tak mungkin menjelma semula seperti  era kegemilangan silam. Sebuah kota yang begitu gah dan beraura  telah lenyap di bumi Cordoba buat selama-lamanya.























Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG
Segambut, Park City Kuala Lumpur.
Selasa 31 Mei 2016.

bersambung.....Mencari Al Hambra

Monday, May 2, 2016

Antara Casablanca dan Cordoba : sebuah catatan perjalanan menjejaki peradaban silam

Sesungguhnya bumi ciptaan Tuhan mempunyai banyak sekali keistimewaannya. Kelainan bentuk demografi dan perubahan musim merupakan sunnah alam yang telah ditetapkan. Perbezaan waktu antara negara dan benua di belahan bumi menjadi petunjuk kekuasaan Ilahi yang mentadbir sekelian alam dengan penuh bijaksana. Matahari, bulan dan bintang beredar mengikut orbitnya untuk menstabilkan kehidupan di bumi. Dunia merupakan sebuah bola besar seolah-olah kelihatan seperti sebuah pulau  kecil di tengah-tengah lautan yang luas terbentang tanpa sempadan. Ketika pesawat melintasi lautan, alangkah kerdilnya diri melihat kebesaran Tuhan dari ruang udara. Bertambah indahnya pemandangan apabila terpandang di ruang langit cahaya bulan seolah olah mengiringi perjalanan kami. Kepulan awan putih kekadang bercampur gelap kelihatan berarak memenuhi ruang angkasa menambah rasa kagum dengan kekuasaan Tuhan. Allah lah yang meniupkan angin dan menggerakan awan sehingga terlihat oleh mata seperti terapung-apung di antara langit dan bumi .  Demikian sekelumit catatan lalu yang pernah saya alami sewaktu dalam penerbangan pada waktu siang ke beberapa buah destinasi.  Subhanallah.

Kuala Lumpur- Abu Dabhi 










Dengan izin Allah jua kami seramai 18 orang terdiri daripada Pengetua, Pegawai Kanan Jabatan  dan mantan Pengetua Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bersama isteri dan suami masing masing bertolak dari KLIA ke Abu Dhabi pada Rabu 20 April,2016  jam 7.45 malam dengan penerbangan Etihad melalui pakej asiaone Ida Royani selama 10 hari di Morocco dan Andalusia. Penerbangan selama 7 jam merentasi  lautan Andaman menyusuri  Teluk Benggala di Lautan Hindi sesekali di kejutkan dengan pengumuman oleh pramugari meminta penumpang memasang tali keledar kerana cuaca kurang baik.Gegaran pesawat semakin terasa semasa melintasi Bengal Bay India. Makan malam di hidangkan dengan sajian ala Arab. Sambil menikmati makanan dan minuman,saya memerhati  (flight path) laluan pesawat untuk mengetahui  kedudukan perjalanan dari setiap negara hingga lah memasuki ruang udara United Arab Emirates dan pesawat selamat mendarat di Abu Dhabi mengikut jadual. Alhamdulillah. Sebaik tiba kami menuju ruang transit untuk pertukaran pesawat ke Cassablanca Africa selama lebih tiga jam. Sewaktu di sini terbayang perasaan anak perempuan bongsu saya yang bersendirian dalam penerbangan ke Manchester mengunjungi kakaknya di Sheffield setahun lalu terkial-kial seorang diri mencari nombor  "gate"  pesawat untuk meneruskan perjalanan ke UK.

Abu Dabhi ke Casablanca








Perjalanan jauh sememangnya meletihkan, namun tidak kurang juga mengujakan. Penerbangan ke ibu kota Morocco selama 8 jam merentasi beberapa buah negara seperti  Mesir, Libya, Rome, Semenanjung Sinai dan Algeria merentasi laut Mediterranean sebelum tiba di Cassablanca pada pagi Khamis 21 April dengan selamat.Casablanca yang bererti rumah putih atau dalam Bahasa Arab Ar Dar Abiadh  ialah kota terbesar di Morocco . Ketenangan suasana yang sejuk sekitar 14 - 15 Darjah Celsius di sini seolah-olah seperti berada di Madinah dengan deretan pohon-pohon tamar yang sedang berbunga berlatarbelakangkan suasana hijau beradun lembut bunga bungaan menghiasi lapangan terbang antarabangsa Muhammed ke V.












LTA Muhammed V kelihatan dari jauh

Kami meneruskan perjalanan  dengan bas ke Marakesh bahagian Barat Morocco sejauh 170 km merentasi leboh raya berbukit yang hijau subur dengan produk pertanian terutama zaitun dan tin. Pemandu pelancong,Marwan yang menemani sepanjang berada di sini membawa kami melawat beberapa tempat bersejarah mengenai tamadun silam di bumi yang asalnya bernama Maghribi ini. Marrakesh kota kedua terbesar menjadi tarikan pelancong kerana keindahan dan keaslian budaya yang kebanyakan penduduknya boleh berbahasa Arab dengan baik. Kami menginap di Hotel Dewani atau Funduk Dewani  bertaraf 4 bintang, mempunyai ciri  rekabentuk asli Morocco yang begitu artistik. Saya memerhatikan deretan kedai persis di kota Mekah dan Madinah yang menjual tamar, zaafaran, habatus sauda, olive dan herba dengan banyak. Produk herba argan olive memang sangat mujarab untuk kosmetik dan penawar penyakit.  Kehidupan masyarakatnya  hampir bersamaan dengan budaya dan cara hidup penduduk jazirah Arab lain yang beragama Islam. Marakesh kelihatan tersusun indah, bersih dan cantik dengan bunga-bunga berbagai warna menyerikan lagi keindahan kota ini. Beberapa tempat bersejarah telah di lawati antaranya seperti Istana Bahia, Istana Badiah , Masjid dan Menara Kaotobia yang sungguh indah. Kami mengunjungi pasar malam yang menjual pelbagai barangan kulit sambil menikmati persembahan tarian kebudayaan Morocco yang agak unik. Apabila kita mengambil gambar tarian mereka, seorang daripadanya meluru meminta duit. Di sini perlu berhati-hati dompek duit anda kerana mungkin tidak menyedari kehilangan barang berharga dalam sekelip mata jika sedikit terleka.Seharian bersama rombongan mengunjungi kedai -kedai sekitar Marrakesh terutama kilang yang menjual argan olive sebelum bertolak ke Casablanca untuk menginap di hotel De Paris.











Funduk Dewani










Kota Marrakesh 

 











Salah satu taman di perkuburan
Saadian Marrakesh.


Malam di Casablanca














Prince de Paris Hotel Casablanca

Pergerakan dari satu tempat ke satu hotel  memang memenatkan lebih-lebih lagi bagi mereka yang melewati usia lima puluhan, namun tidak terdengar keluhan dalam kalangan ahli mengatakan "capek" malah nampak ceria gembira setiap hari. Bermalam di Hotel Prince de Paris Casablanca ibu Kota Morocco sedikit berbeza dengan Marrakesh yang tenang dan sunyi. Casablanca sibuk dan agak semrawut dengan kenderaan yang bersimpang siur walau pun waktu hampir dini hari. Demikian sedikit perkongsian pengalaman semasa berada di sana. Sepanjang berada di Casablanca, beberapa tempat menarik di lawati sebelum menuju Rabat. Perjalanan yang jauh walau pun letih rasa  berbaloi dan terhibur dengan pemandangan yang menarik di negara ini. Rabat kota kedua terbesar yang tidak kurang bersejarahnya di Morocco. Kawasan elite yang di diami kebanyakannya orang kenamaan, usahawan terkemuka sungguh cantik dengan pemandangan di pinggir lautan Atlantik yang luas membiru.








 










Rabat yang indah. Lautan Atlantik terbentang luas membiru.
 













sumber peta : Google


Fes  dan Tanger

Fes kota kedua mempunyai banyak tempat bersejarah. Kami melalui lorong-lorong sempit di celah celah bangunan berusia ratusan tahun. Di sini banyak barangan kulit di jual dengan harga yang perlu di tawar lebih dari separuh. Jenama beg, tali pinggang, kasut, sandal , tas tangan wanita dari kulit asli di buat secara "hand made" yang kelihatan kuat. Saya ada membeli beg sandang dengan harga yang berpatutan sebagai kenangan di Fes. Selepas membeli belah mengikut kemampuan masing-masing, kami menuju ke Tanger. Tiba di Tanger waktu hampir senja dan menginap di Atlas Mohandas Hotel di tepi Selat Gibralta.













Bersiap untuk Andalusia.












Tanger


Selat Gibralta memisah dua benua

Pertembungan budaya antara dua benua Afrika dan Eropah yang hanya di pisahkan oleh selat sempit sepanjang 14 kilometer atau 9 batu. Dari Tanger kelihatan dengan jelas tanah besar Sepanyol. Itu lah Selat Gibraltar terkenal dalam sejarah peradaban silam di zaman Khalifah Ummayah sehingga Islam tersebar ke seluruh pelosok  Andalucia, Sepanyol sekarang. Selat Gibralta berada di tengah tengah pertemuan antara dua lautan iaitu Lautan Atlantik dan Lautan Mediterranean yang sangat istimewa seperti mana termaktub dalam Al Qur'an.

Image result for jabal tariq pertemuan dua lautan









Di sinilah Panglima Islam zaman Ummayyah Tariq bin Ziyad pada tahun 711 M bersama 70,000 bala tenteranya menyeberangi lautan untuk mengembangkan misi Islam. Beliau seorang panglima Islam yang tegas dan berani, sangat sinonim dengan peristiwa ini sehingga terkenal dengan  Jabal Tariq . Tariq Ibnu Ziyad memberi kata-kata semangat kepada tenteranya dengan ungkapan penuh yakin " Wahai sahabat ku semua, di belakang kita lautan, di depan kita musuh ke mana kita mahu lari " ?  sebuah kata semangat untuk perajurit mempertahankan aqidah supaya jangan berpaling dari medan perang. Demikian sebuah catatan termasyhur tertulis dalam sejarah mengenai beliau. Perjalanan dengan feri dari pelabuhan Tanger ke Tariffa Spain lebih kurang 30 minit.






























Setelah selesai pemeriksaan imegresen di Tariffa  kami meneruskan perjalanan ke Cordoba dengan bas executive Vip Class (gambar) sepanjang berada di Sepanyol selama lima hari. Saya melihat banyak kincir angin sepanjang jalan menuju ke sana menerjah kembali ingatan sewaktu berkunjung ke Amsterdam tiga tahun lalu. Pemandu pelancong Ahmad Zaruk Muslim kelahiran Britain, membesar dan bermautautin di sini bersama keluarga beliau memberikan penerangan mengenai sejarah Andalucia. Kami berhenti rehat untuk makan tengah hari di sebuah restaurante Islam Turki kira kira sejam perjalanan dari Tariffa. Hembusan angin yang sejuk walau pun matahari bersinar mengingatkan saya ketika berada di Sheffield United Kingdom. Selesai menjamu selera ala kadarnya, kami meneruskan perjalanan menuju Cordoba melalui lebuh raya tidak bertol yang kelihatan sungguh indah dan cantik  memukau pemandangan. Di kiri kanan jalan di penuhi dengan tanaman olive dan buah tin  yang subur menghijau seperti di Marrakesh Morocco.


Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG
Segambut Park City, Kuala Lumpur.
bersambung....siri kedua. Menjejaki Qurtuba.

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...