Monday, March 14, 2011

TEKS UCAPAN KS PS JPNWP EN ABD HALIM ISMAIL


En. Ab. Halim bin Ismail , Ketua Sektor Pengurusan Sekolah


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Saudara/ saudari pengacara majlis,

YBrs. Tn Hj Che Yahya bin Hj Che Soh, Pengetua SMK Danau Kota, Yang Dihormati En. Mohd.Zahri bin Ab. Rahim, YDP PIBG , Guru guru Penolong Kanan, Ketua ketua Bidang, guru guru, ibu bapa seterusnya pelajar pelajar yang diraikan sekalian.
Bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNYa kita dapat berhimpun dalam majlis Anugerah Cemerlang SMK Danau Kota bagi tahun 2010 yang diadakan serentak dengan Mesyuarat Agung PIBG pada pagi ini.


Bagi pihak Pengarah Pelajaran Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kerana menjemput saya menghadiri majlis yang meriah ini. Majlis seperti ini bertujuan memberikan pengiktirafan kepada para pelajar yang menunjukan prestasi cemerlang dalam bidang akademik sepanjang tahun lalu.


Penghargaan pihak sekolah melalui majlis seperti ini menjadi pemangkin kepada pelajar pelajar lain untuk melipat gandakan usaha mereka mentelaah pelajaran dengan tekun dan beristiqamah.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara diukur melalui tahap pendidikan yang diterima oleh rakyatnya. Justeru, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah, sedang dan akan melaksanakan pelbagai program dan pendekatan untuk memastikan setiap rakyat menerima pendidikan selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu 1948 yang menekankan kepada pendidikan untuk semua (Education For All).

Dalam konteks sekolah, pencapaian pelajar mesti diutamakan kerana mereka merupakan aset dan modal insan negara . Pembangunan modal insan (Human capital) tidak akan terlaksana sekiranya budaya dan sikap pelajar tidak dibentuk dan diperkasakan melalui penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan.


Keprihatian Kerajaan dapat lihat melalui pembentangan bajet 2010 yang memperuntukan sejumlah RM30billion untuk pembangunan pendidikan negara. Sekolah sebagai institusi pendidikan formal bertanggungjawab membangun potensi intelektual dan rohani pelajar melalui pelbagai program dan aktiviti yang dirancang secara strategik, sistematik dan berkesinambungan.


Sebagai penjawat awam, para pendidik memegang amanah yang sangat besar untuk memastikan kelestarian sistem pendidikan negara tetap unggul dan cemerlang. Setiap pegawai awam tertakluk kepada Tatakelakuan Dan Tatatertib 2002 (PU(A)246) Perkara 4 (1) yang berbunyi : Hendaklah setiap masa menumpahkan taat setia kepada Yang DiPertuan Agong, Negara dan Kerajaan. Dalam Perkara 4(2) pula menyebut : Seseorang pegawai tidak boleh membelakangkan tugas rasmi demi kepentingan peribadinya. " we are holding the people trust, therefore we must be trusted ". 


Oleh kerana itu kita perlu akur dengan sebarang keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan. Peranan guru bukan sekadar memindahkan ilmu pengetahuan semata mata tetapi sebagai obor membentuk minda pelajar menjadi insan berkualiti, mempunyai jati diri sebagai warga negara sejati sejajar dengan impian KPM yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana

" The main objective of education is to prepare the young people with knowledge, skill and competence for their better future. School as a formal institution are responsible to uphold the integrity of student culture, changing the environment and set up the clear goals to achieve the good result".

Tuan tuan dan puan puan,

Dalam era globalisasi dan ledakan ilmu pengetahuan, peranan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menjadi faktor utama kecemerlangan sesebuah organisasi. Tamadun dan peradaban manusia dalam beberapa dasawarsa ini turut berubah akibat kemajuan pesat ICT. Dunia tanpa sempadan seolah olah menjadi sebuah perkampungan kecil sehingga setiap peristiwa yang berlaku tidak sampai sesaat sudah diketahui umum. (Contohnya gempa bumi yang berlaku di Jepun pada skala 8.9 ritcher mengakibatkan berlaku tsunami mengorbankan ribuan nyawa dan meranapkan selatan negara itu menjadi padang jarak padang tekukur)

Menyedari betapa pentingnya ICT dalam pembangunan pendidikan, KPM telah memperuntukan sejumlah dana yang besar bagi melengkapkan sekolah sekolah di seluruh negara dengan kemudahan pusat akses agar pelajar dapat meneroka pelbagai maklumat yang berkaitan dengan disiplin ilmu yang mereka pelajari. Melalui kaedah ini proses P&P menjadi bertambah menarik, menyeronokan dan yang paling penting membangkitkan minat pelajar secara mendalam untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan mereka.

Tuan tuan dan puan puan sekalian,

 
KPM telah melaksanakan beberapa penambahbaikan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara dengan memberi fokus kepada Memartabatkan Bahasa Melayu(MBM), Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBI) disemua peringkat sekolah.Usaha MBM,MBI adalah untuk melahirkan generasi akan datang mengikut acuan Malaysia.



Melalui dasar baru ini, penekanan akan diberi kepada subjek Bahasa Inggeris bagi meningkatkan penggunaan bahasa itu dalam kalangan pelajar. Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakan BM pada tempat yang sewajarnya sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti mana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia dan BM juga merupakan bahasa pengantar utama berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Memperkukuh Bahasa Inggeris, bermaksud memantapkan penguasaan BI sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu diperingkat nasional dan antarabangsa.


KPM juga telah memperkenalkan beberapa tawaran baru seperti BAIAH bagi pengetua dan guru besar yang berjaya memimpin sekolah sehingga melepasi tahap piawaian berprestasi tinggi. Ganjaran sebanyak RM7500 disediakan kepada sekolah sekolah yang mencipta kecemerlangan dalam semua bidang. Selain dari itu, KPM juga telah memberi penekanan kepada Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) untuk menilai pencapaian pelajar secara holistik.


Melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah pelajar dinilai berdasarkan 5 domain utama iaitu:
ujian psikometrik
pentaksiran sekolah
pentaksiran aktiviti jasmani dan kokurikulum
pentaksiran pusat
peperiksaan pusat.

Tuan tuan dan puan puan


Berdasarkan kepada beberapa perubahan yang telah dinyatakan tadi, saya yakin dengan sokongan dan partisipasi padu setiap ibu bapa, komuniti setempat, badan badan kerajaan yang lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO),pembabitan sektor awam dan sektor swasta berpadu tenaga merealisasikan hasrat murni KPM melahirkan intelektual berminda kelas pertama untuk kesinambungan pembangunan pendidikan negara dimasa akan datang .

Dengan lafaz yang mulia BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang SMK Danau Kota dan Mesyuarat Agung PIBG pada pagi ini .

Sekian, Terima kasih.
cycs1632011macsmkdk
Teks ucapan KSPS

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...