Kemenangan Trump: Orang Islam mula bimbang
MARLISSA KAMAL & NORHANA FARIZA HARUN
10 November 2016
Trump turut diiringi keluarganya ketika berucap sempena kemenangannya di Hilton Midtow, New York. - Foto AFP
KERAJAAN dari Asia hingga Eropah memberi pelbagai
respons, malah ada yang tidak percaya dengan kemenangan Donald Trump
dari Parti Republikan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS)
2016 yang disifatkan paling sengit dalam sejarah negara itu.
Kejayaan jutawan hartanah itu menewaskan Hillary Clinton untuk menjadi
Presiden AS ke-45 selepas berjaya mencatatkan kemenangan di swing state
utama termasuk Florida, North Carolina dan Ohio dengan meraih lebih 270
undi yang diperlukan.
Dalam ucapan kemenangannya di New York, Trump, 70, berjanji untuk memulihkan negara itu.
"Sudah tiba masanya untuk kita menjadi satu bangsa bersatu padu. Saya
berjanji kepada semua rakyat bahawa saya akan menjadi presiden untuk
semua penduduk AS," katanya.
Ketika berkempen, Trump pernah menyatakan rasa kagum dengan Presiden
Rusia, Vladimir Putin, mempersoalkan rukun tengah perikatan Pertubuhan
Perjanjian Atlantik Utara (Nato) selain mencadangkan Jepun dan Korea
Selatan dibenarkan membangunkan senjata nuklear sendiri kononnya untuk
memikul beban pertahanan mereka sendiri.
Jutawan hartanah kontroversi itu juga pernah berikrar untuk membatalkan
perjanjian global mengenai perubahan iklim yang dimeterai kuasa dunia
di Paris pada tahun lalu dan mengadakan rundingan semula berhubung
perjanjian antara Teheran dan Barat bagi melonggarkan sekatan ke atas
negara itu sebagai pertukaran dengan membenarkan program nuklear negara
tersebut dipantau rapi.
Tetapi, kebanyakan negara Barat tidak pasti sama ada bekas bintang
realiti TV yang tiada pengalaman dalam politik itu mampu menunaikan
janjinya.
Ahli sejarah terkenal, Simon Schama menyifatkan kemenangan Trump dan
kekuasaan Republikan di Senat dan Dewan Perwakilan sebagai 'prospek yang
benar-benar menakutkan'.
"Nato akan berada di bawah tekanan, Rusia pula akan mencetuskan
masalah. 20 juta orang akan kehilangan insurans kesihatan mereka, dasar
perubahan iklim akan ditarik balik dan peraturan bank pula dibubarkan.
Adakah anda mahu saya senaraikan lagi apa yang akan berlaku?," katanya
kepada BBC.
Orang Islam mula bimbang
Sementara itu, penduduk Islam di kebanyakan negara Asia seakan sukar
untuk menerima kemenangan ahli politik populis yang sering menggunakan
retorik anti-Islam dan menyampaikan Islamophobia secara terang-terangan
sebagai bahagian penting dalam kempennya.
Antara kenyataan paling kontroversi beliau mengenai Islam adalah ketika
Disember tahun lalu yang turut mencetuskan kemarahan 1.5 bilion orang
Islam di seluruh dunia.
Trump dengan lantang membuat gesaan supaya melarang orang Islam
daripada memasuki AS susulan insiden serangan berdarah di California.
Seorang pegawai kerajaan di Pakistan yang enggan identitinya didedahkan
turut mengeluh dengan keputusan itu yang disifatkan 'sangat kejam dan
menakutkan'.
"Saya sangat kecewa melihat kemenangan Trump. Hillary Clinton hanya
bersuara tentang keamanan tetapi Trump sering bercakap mengenai
memerangi orang Islam," katanya.
Di Indonesia, penduduk negara itu mula bimbang bagaimana pentadbiran
Trump akan memberi kesan terhadap hubungan antara AS dan dunia Islam.
"Saya bimbang hubungan antara AS dengan negara Islam akan kembali
tegang. Saya sangat takut. Adakah akan berlaku lebih banyak peperangan?
Adakah AS akan menyerang negara Islam lagi?," soalan itu diajukan
aktivis Indonesia, Alijah Diete.
Selain itu, terdapat juga kebimbangan terhadap dasar anti-Islam yang
lebih tegas di bawah pentadbiran Trump yang dikhuatiri akan meningkatkan
lagi pengaruh ekstremisme di tengah-tengah dunia sedang bergelut dengan
ancaman meningkat kumpulan militan.
"Apabila AS menggunakan kuasa lebih keras, ekstremis akan mendapat
momentum. Pihak yang paling gembira dengan kemenangan Trump adalah
Daesh," kata wakil dari Pertubuhan Nahdlatul Ulama di Jakarta, Zuhairi
Misrawi.
Beberapa pemerhati juga berharap retorik anti-Islam yang sering
dilontarkan oleh beliau hanya untuk memancing undi dan tidak akan
diterjemahkan ke dalam dasar xenophobia yang tegas apabila beliau mula
bertugas di Rumah Putih.
Dasar Trump juga dikhuatiri akan mendiskriminasikan orang Islam di AS kerana beliau melihat golongan itu sebagai 'orang asing'.
Kira-kira 3.3 juta penduduk Islam yang mewakili satu peratus populasi
di AS kini bimbang dengan sentimen anti-Islam yang kian meningkat dan
mungkin menjadi lebih buruk di bawah Trump.
Sementara itu, gerakan Hamas yang mentadbir Genting Gaza menyatakan
mereka tidak menjangka perubahan dalam tindakan berat sebelah AS
terhadap penduduk Palestin apabila Trump menggantikan Presiden Barack
Obama.
"Ia adalah dasar yang konsisten. Tetapi, kami berharap Trump dapat
menilai dan mengimbangi semula dasar ini terhadap isu Palestin," kata
jurucakapnya, Sami Abu Zuhri.
Sinar Harian online
Khamis 10 November,2016