Tuesday, September 29, 2015

Indahnya Persahabatan Kita

Setelah setahun pembentukan re-union dalam kalangan Warga Alumni Republik Indonesia Sumatra (WARIS) di Kota Baru pada Ogos 2014, pada hari ini Sabtu 26 September 2015 menjadi titik permulaan perjalanan Waris secara rasmi sebagai sebuah persatuan yang sah. Pemilihan Jawatan kuasa baharu bagi tempoh 2015/2017 telah berlangsung di Hotel Habib dalam suasana muhibah dan kekeluargaan. Seramai 24 orang ahli berdaftar  yang hadir dan layak mengundi telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh jujur dan amanah. Kolonel Kehormat  Dato Dr. Mohd Zain Yusoff  telah sebulat suara di pilih sebagai Yang Di Pertua (YDP) Waris manakala Timbalan YDP ialah Dr.Suhaimi Kadir dan  Setiausahanya  Sdra. Abdul Fatah Ghazali bersama barisan Ahli Jawatan Kuasa baharu. Mesyuarat Agung (MA) ini dirasmikan Sdra Tan Sri Dr Alies Anor Abdul Pengerusi Eksekutif Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang juga ex-officio Waris.













Tan Sri Dr Alies Anor Abdul

Bukan hanya ilusi

Idea dan gagasan menubuhkan Waris bukan hanya sekadar ilusi tetapi benar-benar menjadi realiti untuk mengumpul dan merapatkan kembali ukhwah dalam kalangan ahli yang telah terpisah sejak beberapa dasawarsa yang lalu malah sebahagian sahabat yang sama-sama senasib sepenanggungan di rantau orang telah kembali kepangkuan Ilahi. Cetusan awalnya hanya melalui komunikasi maya oleh Sdra Suhaimi Kadir kepada rakan-rakan pada awal Ramadhan tahun lalu dengan harapan dapat membina kembali persahabatan yang terputus kerana kesibukan tugas masing-masing. Adalah menjadi hasrat kita semua untuk melihat kemajuan dan kemercuan Waris menjadi sebuah organisasi yang di segani di dalam dan luar negara melalui gerak kerja dan sinergi yang baik dengan berbagai pertubuhan, sektor awam dan korporat di negara ini. Antara idealisma dan realisma menjadi indikator kemajuan organisasi. Dalam mana-mana pertubuhan atau badan sukarela idealisma menjadi kekuatan kepimpinan yang diterjemahkan secara realisma untuk pembangunan citra organisasi unggul. Waris telah memainkan peranannya mengetuai misi kemanusiaan semasa banjir besar di Kelantan akhir tahun lalu. Melalui inisiatif Dr Zain bersama Tuan Khatimah , Fauzi dan beberapa ahli Waris telah bergerak ke seluruh negeri menyampaikan sumbangan dan membantu meringankan beban mereka yang dalam kesempitan.












Kol Dato Dr Zain Yusoff


Barisan kepimpinan Waris 2015/2017

Entiti masyarakat

Ahli Waris yang terdiri daripada berbagai latarbelakang pengurusan dan profesional seperti jurutera, korporat, penulis, sasterawan, perubatan, pergigian dan pendidikan pastinya mempunyai minda fikir yang konstruktif dan futuristik untuk menyumbang kepakaran sesuai dengan bidang masing-masing demi kelangsungan organisasi yang sama-sama kita dokong ini. Saya teringat kata-kata Tan Sri Dr. Alies dalam ucapan perasmiannya " Jika hanya 20 peratus daripada ahli yang aktif bekerja pun sudah cukup untuk menggerakan persatuan, jangan tunggu mendapat sokongan semua ahli baru mula bekerja". Demikian kurang lebih yang dapat saya kutip daripada ucapan beliau. Barisan kepimpinan baharu yang sebahagian besarnya masih orang sama mempunyai perancangan strategik berdasarkan 'SMART' iaitu specific, measurable, attainable, reliable and time bound  menjadikan Waris sebuah entiti masyarakat yang di segani. Kerajaaan Kelantan telah menjemput Waris bersama delegasi mereka ke Indonesia bagi meninjau dan mengadakan kerjasama dengan IPT di dalam pengajian Islam membuktikan pertubuhan ini mendapat perhatian semua pihak. Waris juga sedang merancang menubuhkan kooperasi bertujuan membantu dan memudahkan ahli menjana pendapatan mereka.

Kunjungan hormat

Barisan kepimpinan akan mengadakan kunjungan hormat dan bersilaturahim bersama Duta Besar (DUBES) Indonesia dalam waktu dekat untuk memperkenalkan Waris sebagai sebuah organisasi yang dianggotai oleh bekas-bekas pelajar dari Sumatra beberapa dekad lalu. Kita berharap dengan pertemuan tersebut sedikit sebanyak menjadi pemangkin kerjasama erat antara dua negara serumpun khususnya dalam bidang pendidikan. Indahnya persahatan kita jika setiap ahli setia bersama membantu menjayakan cita-cita murni menjadikan Waris sebagai tonggak kesatria  sepertimana Bhineka Tunggal Ika yang menjadi lambang penyatuan  bangsa Indonesia. Kejujuran, keikhlasan dan ketulusan pimpinan dan ahli menjadi indikator kecemerlangan organisasi. Seandainya amalan murni seperti ini dapat kita manifestasikan dalam setiap aktiviti, pasti Waris disanjung tinggi menjadi ikon terpuji. Waris mendambakan adik-adik yang pernah belajar di Sumatra dapat bersama kita untuk menentukan kelangsungan generasi ini terus kukuh dan berkesinambungan setelah ketiadaan kami. Bersamalah kita menyumbang ilmu, tenaga dan materi sekadar termampu untuk kegemilangan Waris. Apa yang saya ada, tuan-puan tidak ada, apa yang tuan-puan ada saya tidak ada. " What you have, I don't have, what I have you don't have. Together we combine our strength to realize our dreams". 
Justeru kita kombinasikan segala kekuatan yang ada untuk merealisasikan hasrat dan cita-cita menjadi sebuah organisasi berintegriti. Saya masih ingat pesanan  Penaung Waris  Datuk As Khamis jangan biarkan pertubuhan ini malap dan akhirnya mati tanpa nesan.

Image result for Waris warga alumni republik Indonesia Sumatera
Imbas kembali semasa  re-union 2014 bersama Datuk AS Khamis
Penaung Waris, Dr Zain dan Penulis.

Che Yahya Che Soh
PSU Waris 2015/2017
Pengetua SMKSB  Segambut
Desa Park City Kuala Lumpur.
Rabu 30 September,2015.

4 comments:

  1. Tahniah atas kewujudan WARIS...tapi ramai ahli-ahli WARIS yang lupa siapa Abang Z.. Seperti kata Dr.M...
    Melayu Mudah Lupa...

    -Dr. Ahmad Suffian Mohd Zahari-

    ReplyDelete
  2. Kita tak pernah lupa orang yang berjasa kepada kita.
    Bila balik Kelantan InsyaAllah pegi ziarah beliau. Waris pun menjemput Abg Z untuk menjadi penasihat pada awal tertubuhnya persatuan ini. Saya sendiri ziarah abg Z. Terima kadih tuan Dr

    ReplyDelete
  3. Terima kasih pada Abang Yahya atas ingatan.
    Saya masih ingat lagi masa kecil-kecil dahulu Abang Yahya selalu datang ke rumah. Baru-baru ini pun selepas banjir Abg Yahya ada datang ke rumah. Saya bukannya cuba untuk "Playing a BLAME game towards others". Cuma memori lama datang kembali saat umur saya menjangkau 42 tahun. Dahulunya sentiasa berdamping dan bermesra dengan abang2 dan kakak2 yang belajar di Indonesia. Abah saya tak minta jasanya dibalas...cuma cukup bertanyakan khabarnya di saat umurnya berada di penghujung..
    Apa yang Abah saya rasa, tempiasnya terasa pada saya..

    Cetusan rasa ini dizahirkan kepada Abang memandangkan Abg ada Blog dan mungkin ianya boleh disampaikan kepada rakan-rakan ahli WARIS yang lain.

    Terima kasih...

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah. Naluri saya memang tepat bila membaca komen dari awal apakah ini adinda Suffian Abang Z. Terima kasih Yan kerana sudi membaca victory. Suffian sekarang kerja di mana? Raya Haji baru ni saya balik dan singgah di rumah Abg Z Jalan Halimah tetapi masa tu rumah berkunci, bila telefon abang Z berada di kampung- Machang. Yan ini no telefon saya- 012 981 5661.

    ReplyDelete

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...