Pembangunan mapan sesebuah organisasi menjadi indikator kecemerlangan kepimpinan. Kemajuan sesebuah negara juga turut menjadi parameter kecekapan pemimpin mengurus tadbir sumber kekayaan yang ada untuk melonjakan produktiviti pendapatan rakyat. Organisasi dan kepimpinan tidak boleh disegregasikan kerana peranan pemimpin menjadi tonggak kemajuan atau kelayuan pentadbiran. Pemimpin yang mempunyai idealisma berusaha mencipta sesuatu yang baharu dan kelainan untuk memperkasa organisasi dalam segala bidang berdasarkan kerangka strategik yang dirancang secara sistematik. Terlalu banyak teori kepimpinan yang kita baca melalui penulisan tokoh tokoh terkenal tempatan dan dunia namun tidak semua gagasan pemikiran selari dengan budaya sesebuah organisasi yang di alami secara amali.
Mengurus manusia
Realiti mengurus sumber manusia sangat sukar yang memerlukan kebijaksanaan pemimpin merungkaikan setiap kekusutan bergantung kepada kewibawaan pemimpin mengurus diri, mengurus orang lain dan yang paling penting mengurus organisasi dengan baik. Menjadi pemimpin yang berwibawa memerlukan ilmu,kemahiran,kecekapan dan kemampuan membaca situasi yang akan berlaku berdasarkan refleksi pencapaian masa lalu. Kemampuan intelek saja tidak memadai tanpa sokongan pengalaman dan hubungan sosialisi yang harmonis antara anggota dengan masyarakat sebagai simbol integrasi kemajuan organisasi.Peranan ketua sangat dominan dalam menentukan hala tuju organisasi. Pemimpin yang hanya tahu berteori tanpa amali, organisasi pasti lesu dan sepi. Pepatah Cina menyebut "Ikan mula busuk di kepala" menggambarkan watak dan wajah sebenar seseorang pemimpin.
Organisasi unggul
Citra dan keunggulan organisasi di dominasi oleh faktor kepimpinan. Ketua yang bertanggungjawab meletakan 100 peratus kewajiban kepada pembangunan organisasi.Bagi memastikan matlamat dan pengurusan organisasi berjalan seperti hala tuju yang ditetapkan , keberadaan dan keikutsertaan ketua menjadi indikator kejayaan. Jangan harapkan kecemerlangan jika ketua hanya tahu mengarah tanpa pembabitan sama dalam mengurus , mengawal selia dan memotivasi anggota untuk bekerjasama membangun organisasi secara maksima. Mencipta suasana persekitaran yang harmonis tenang dan damai menjadi tanggungjawab seseorang ketua untuk kepuasan bekerja walau pun penat namun tetap ceria. Ketua yang kreatif menjadi pemangkin kecemerlangan organisasi. Konsep syarikat keluarga dalam mengurus tadbir organisasi menjadikan setiap individu berasa benar-benar bertanggungjawab memacu kecemerlangan untuk membina imej organisasi. Pemimpin yang kreatif biasanya berfikiran positif untuk mewarnai orgasasinya dalam berbagai bidang.Menjadi ketua bukannya sesuatu yang indah dan mudah kerana tanggungjawab dan amanah sangat besar,tidak terhenti di dunia malah sampai ke akhirat. Setiap orang di antara kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya di depan Allah mengenai kepimpinan mu. Demikian kurang lebih inti pati daripada Sabdaan Nabi saw mengenai tanggungjawab seseorang pemimpin.
Pemimpin hipokrit
Masyarakat Melayu kaya dengan adat resam dan budaya yang tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan namun zaman gajet ini amalan ini semakin pupus malah ramai orang tidak memahami jika berbicara melalui peribahasa. Pepatah Melayu mengutarakan rasa hati secara kiasan seperti " Dia tu tak boleh dipercayai kerana selalu bermuka-muka" atau "manis di bibir tetapi menikam dari belakang". Dua buah perumpamaan ini sudah cukup untuk menggambarkan sifat individu yang tidak boleh dipercayai. Dalam bahasa moden di sebut HIPOKRIT yang selalunya berangkai dengan ketamakan diri, prejudis, iri hati dan keegoan tinggi. Jika pemimpin mempunyai ciri-ciri seperti itu hancurlah organisasi, punahlah sosialisasi.Justeru keberadaan pemimpin untuk merungkaikan masalah bukannya menambahkan kerumitan.
csyahya victory
No comments:
Post a Comment