Saturday, August 15, 2015

Antara Ilmu dan Perilaku

Manusia di cipta Tuhan dengan sebaik-baik kejadian iaitu Ahsani Taqwim. Kemuliaan manusia kerana diberi akal dan nafsu sebagai pelengkap kepada diri berbanding dengan makhluk lain. Pernyataan Allah tentang kejadian manusia ini membuktikan bahawa bumi ini selayaknya di urus tadbir oleh mereka yang mempunyai ilmu berpaksi prinsip perundangan Tuhan.  Makhluk terbaik melebihi para Malaikat kerana manusia memiliki jasad dan roh. Kedua dua unsur ini menjadi kemercuan kecemerlangan diri yang dipacu dengan ilmu sebagai pra syarat kemuliaan diri. Kecerdasan akal kerana adanya ilmu sebagai tunjang kehidupan. Ilmu tanpa amalan umpama pohon tanpa buah buahan. Hubungan ilmu dengan pengurusan dan pentadbiran berkait rapat kerana kejayaan sesebuah negara atau organisasi bergantung kepada kekuatan pemimpin yang berilmu.

Kejernihan hati

Orang berilmu seharusnya mampu membangun peradaban ummah berteraskan prinsip Ketuhanan untuk keadilan dan kemakmuran sejagat. Ilmu yang di datangkan oleh Tuhan bertujuan untuk merobah minda manusia dari kejumudan kepada cahaya kebenaran. Orang berilmu mempunyai kejernihan hati dan kesantunan budi kerana kemuliaan diri  terletak kepada keikhlasan mencari redha Ilahi. Epistimologi kehidupan hanya mampu dilaksanakan melalui ilmu secara autentik seperti mana di ajarkan kepada Nabi Muhammad Saw untuk membangun Madinah yang dulunya di kenali dengan Yathrib. Tunjang segala kebaikan ialah berlandaskan peraturan Tuhan secara berterusan dalam membentuk sesebuah pemerintahan. Apabila syariat Tuhan menjadi acuan pengurusan dan pentadbiran nescaya kehidupan sosialisasi manusia beroleh kesejahteraan.

Peranan pemimpin

Dalam pengurusan dan pentadbiran di peringkat organisasi, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) mau pun  negara, tonggak utama pemerintahan ialah pemimpin. Mereka di beri kuasa melalui pungutan suara oleh rakyat untuk mengemudi Kerajaan setiap lima tahun sekali. Dalam organisasi pula personel dilantik berasaskan kecemerlangan perkhidmatan. Antara pemimpin organisasi dan ketua sesebuah kerajaan peranan dan tanggungjawab tidak jauh berbeza iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.Walau pun skop pengurusan organisasi kecil tetapi matlamat pentadbiran sama iaitu menunaikan secara maksima piagam pelanggan yang ditetapkan. Setiap ketua jabatan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap organisasi yang di pimpin bagi memastikan pengurusan sumber manusia, pengurusan pejabat dan yang penting akauntabiliti kewangan organisasi sentiasa mematuhi prosedur yang ditetapkan. Kecekapan, kecerdasan dan keikhlasan mengurus menjadi indikator kecemerlangan organisasi.Tugas dan tanggungjawab utama di bahu pemimpin. Mengikut kajian Harvard Business Centre 85 peratus kecemerlangan sesebuah organisasi kerana faktor kepimpinan hanya 15 peratus sahaja pengurusan. Memang benar kepimpinan merupakan faktor dominan yang mampu mengubah dan mencorakan organisasi samada cemerlang atau kecundang. Antara retorik dan praktik seharusnya berjalan seiring kerana manusia sangat selektif terhadap ungkapan yang tidak dibuktikan dengan perbuatan dan tindakan. Analogi yang paling mudah ialah "cakap serupa bikin dan bikin seperti cakap" sangat disukai pengikut.

Ilmu dan perilaku 

Pembentukan pola fikir manusia bergantung kepada ilmu yang di miliki. Ilmu yang saya maksudkan ialah kemampuan individu mengintegrasikan pengetahuan dengan perilaku dalam kehidupan seharian. Mengukur manusia melalui bilangan ijazah atau kesarjanaan PhD yang di perolehi adalah kurang tepat kerana tidak semua sarjana mampu mengadaptasi ilmu selari dengan perilaku sebagai manifestasi ilmuan sejati. Ramai orang mempunyai ilmu tetapi sangat langka perilaku kerana dalam diri manusia sentiasa berlaku pertembungan antara kebaikan dan kefasadan yang menuntut kewarakan hati kepada Tuhan. Antara kewarakan dan ketamakan menjadi pemisah kepada manusia yang benar-benar beriman kepada Allah Pencipta sekelian alam. Secara realitinya orang berilmu seharusnya  menjadi cermin perilaku bukannya juara dalam salah laku. Fungsi ilmu ialah mencari kejernihan diri  melalui proses pendidikan secara berterusan. Organisasi akan hancur jika pemimpin tidak berintegriti. Pendidikan yang berteraskan integriti dan kejujuran intelektualiti akan melahirkan modal insan seimbang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berpaksi kepada pembentukan Jasmani, keseimbangan emosi, kekuatan rohani dan keampuhan intelek atau lebih sinonim dengan JERI. Kerangka pemikiran yang di gagaskan dalam JERI inilah seharusnya menjadi hala tuju pembentukan modal insan berilmu untuk pembangunan masa depan negara yang lebih cemerlang. Garis-Garis Besar Hala Tuju Pendidikan Negara (GBHPN) sebenarnya teraungkap kukuh dalam JERI yang bersumber dari Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Kita seharusnya berterima kasih kepada para penggubal dasar yang melihat setiap sudut kebaikan untuk menjana generasi berilmu berpaksikan kecemerlangan untuk pembangunan negara dalam segala bidang kerana matlamat terakhir sistem pendidikan ialah pembentukan modal insan yang seimbang.


Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG
Segambut Park City Kuala Lumpur.
Isnin 17 Ogos,2015.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...