Manusia ialah makhluk yang paling baik dan istimewa berbanding ciptaan Allah yang lain. "Sesungguhnya kami telah mencipta manusia sebaik baik kejadian" (Attien :4). Keistimewaan ini kerana manusia dianugerahkan akal fikiran dan nafsu yang sempurna (iman dan amal) untuk melaksanakan tugas dan memikul tanggungjawab sebagai khalifah di bumi." Sesungguhnya Aku akan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi" (Albaqarah :30). Khalifah bermaksud menjadi wakil Tuhan untuk mengurus tadbir bumi dengan baik berpandukan peraturan dan ketetapan yang termaktub dalam AlQuran dan Sunnah Nabi SAW untuk kesejahteraan umat manusia sejagat sebagai Rahmatan lil 'Alamin . Tanggungjawab khalifah tidak diberi kepada makhluk lain kerana mereka tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Manusia Secara Harfiyah
Secara harfiyah (umum) Allah SWT menyebut manusia sebagai An Nas, Al Insan dan Bani Adam. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, Tuhan mengutus para Rasul dan Nabi membawa ajaran Tauhid (Aqidah) sepertimana termaktub dalam kitab Taurat (Nabi Musa AS), Zabur (Nabi Daud AS), Injil (Isa AS) dan Al Quran (Muhammad SAW) untuk menuntun manusia ke jalan yang lurus . Al Quran merupakan pelengkap kepada semua syariat dari langit sebagai hudan lilmuttaqien iaitu petunjuk bagi orang beriman dan bertakwa.
Martabat Manusia
Sumber Video: You tube
Sheikh Sudais Imam Masjidil Haram Makkah
Surah Al Baqarah
Sungguh mulia dan tingginya martabat manusia bilamana Allah SWT sendiri telah mengamanahkan bumi ini untuk diurus tadbir dengan sebaik baiknya. Firman Allah ini menyebabkan para malaikat bertanya kepada Tuhan mengapa manusia perlu diciptakan sedangkan mereka sentiasa membuat kerosakan dengan menumpahkan darah sesama sendiri sedangkan para malaikat tidak pernah mengingkari perintah . Allah SWT menegaskan sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang Aku ketahui. Tuhan berfirman kepada para malaikat supaya tunduk hormat (sujud) kepada Adam As . Semua Malaikat sujud kecuali IBLIS kerana berasa dirinya lebih mulia. Manusia diciptakan dari tanah dan Malaikat dari Nur (cahaya) (Al Baqarah :34)
Sumpah Iblis Laknatullah
Iblis yang pada asalnya dalam kalangan para malaikat telah mengingkari perintah Allah telah bersumpah untuk melaksanakan tipu daya (makar) menyesatkan keturunan Adam As hingga ke hari kiamat. Tuhan mengingatkan manusia supaya menjauhi syaitan kerana ia adalah musuh yang paling nyata . Pujukan dan rayuan Iblis laknatullah yang cukup licik menyebabkan Nabi AdamAS bersama isterinya Hawa memakan buah larangan menyebabkan mereka diperintah turun ke bumi meninggalkan segala kemewahan dan kesenangan di syurga . Nabi Adam As tidak berhenti menangis berdoa kepada Allah memohon diampunkan atas kesilapan. "Rabbana Dzalamna anfusana waillam taghfirlana watarhamna lanakunan naminal khasirin ". Tuhan Yang Maha Pengasih Maha Penyayang memperkenankan doa hambaNya . Sejak peristiwa tersebut Adam As dan Hawa isterinya menjadi manusia terawal menghuni bumi. Dari zuriat mereka berdua, manusia berkembang biak silih berganti generasi hinggalah kepada kita sekarang.
Bukan Semulajadi
Hamparan bumi luas terbentang dihiasi indah gunung ganang menghijau kaya pelbagai spesis flora dan fauna menjadi saksi kebesaran dan keagungan Tuhan. Siapa yang menanam dan menumbuhkan pelbagai jenis spesis tumbuhan sejak berkurun atau mungkin terjadi dengan sendiri ? (incidental) . Kita telah diajar sejak berdekad dengan terminologi yang salah untuk mentafsir sesuatu sehingga mudah menyebut alam semula jadi, air terjun semula jadi sedangkan hakikatnya ialah alam ciptaan Illahi yang tidak mungkin terjadi dengan sendiri.
Alam ciptaan Illahi BUKAN semulajadi .
Gambar: internet
Hutan tempat bermukimnya bermacam jenis haiwan dan tumbuhan menjadi penyumbang oksigen untuk kelestarian kehidupan manusia dan haiwan di bumi. Dari puncak bukit terpancar mata air yang jernih, sejuk dan segar melalui celah celah batu dan akar kayu berkumpul membentuk air terjun yang sungguh menakjubkan yang kemudiannya mengalir melalui lembah, danau, tasik dan akhirnya ke laut. Lautan merupakan khazanah alam yang kaya dengan sumber kehidupan tidak pernah putus untuk keperluan hidup manusia kendati pun (sekali pun) diancam dengan berbagai aktiviti penerokaan. Sejak berabad lautan menjadi nadi utama laluan kapal yang membawa barang dagangan ke serata dunia. Hubungan ekonomi antara negara berkembang pesat sejak sekian lama sebelum wujudnya perkhidmatan udara. Demikian Allah SWT mengatur dan menyusun ekosistem alam yang sungguh sistematik tetapi sangat sedikit manusia yang bersyukur.
Mendidik Manusia
Manusia perlu di didik dengan penuh hikmah dan bijaksana (wisdom) kerana naluri mereka sangat sukar menerima sesuatu perkara yang bertentangan dengan kehendaknya. Dalam diri setiap orang sering berlaku pertembungan antara kebaikan dan keburukan yang memerlukan pertimbangan akal secara waras dan rasional. Kewarasan akal bergantung kepada mutiara iman yang menunjang dalam jiwa melalui proses pendidikan yang berterusan. Jika pertimbangan akal mengatasi kehendak naluri (nafsu) manusia pasti memperoleh sakinah dan al falah tetapi andai sebaliknya ia akan kecundang dalam kesengsaraan yang berpanjangan. Justeru tidak hairan dalam realiti kehidupan ini bukan sedikit cerdik pandai terjebak ke lembah kehinaan sanggup menjual diri, membunuh bayi, bersedudukan, memakan rasuah dan terlibat dengan jenayah berat sehingga terpaksa merengkok dalam penjara. Tekanan emosi yang tidak terkawal mendorong segelintir manusia mengambil jalan nekad dengan menghabiskan usia kerana tiada kekuatan iman menanggung musibah yang melanda. Peranan dakwah tidak hanya bergantung kepada ustaz dan ilmuan Islam semata mata malah para artis dan komuniti boleh menjadi model kepada anak-anak menyampaikan mesej melalui lagu berkonsepkan ketuhanan . peranan media dalam menyebarkan maklumat yang berintegriti mempunyai impak yang sangat besar membentuk minda anak muda yang sedang mencari identiti diri. Mata pena lebih tajam dari mata pedang. Demikian kata pepatah. Ketika ini saluran media yang beroperasi selama 24 jam ialah Radio IKIM yang mengetengahkan hiburan berinformatif diselang seli dendangan lagu lagu nasyid, alunan zikir dan bacaan wahyu Illahi oleh imam muktabar boleh meruntun hati yang mati. Pengacaranya yang berkarisma, berilmu,berwibawa dan berkualiti menjadi penggerak utama Radio IKIM sebagai wadah untuk mendidik masyarakat. Syabas dan tahniah kepada Radio IKIM yang menjadi penghibur kami sekeluarga sejak ia berkumandang di udara.
Bumi Nazak
Mutakhir ini pelbagai fenomena alam berlaku silih berganti di beberapa negara . Gempa bumi kerap berlaku melanda negara negara seperti Indonesia, New Zealand, China dan terkini Jepun dengan 9.0 skala ritcher menyebabkan tsunami yang sangat dahsyat mengorbankan ribuan nyawa dan kehilangan harta benda. Ombak menggunung ,menghempas dan menyapu bersih bangunan, rumah kediaman, kenderaan menjadikan utara Jepun seperti tidak pernah dihuni manusia . Demikian juga di Acheh, Thailand, Malaysia ,Sri Langka dan India pada penghujung tahun 2004 yang lalu mengambil ratusan ribu nyawa .
Sumber gambar : Utusan online
Semua kejadian ini menunjukkan bahawa usia bumi semakin tua dan semakin nazak. Peringatan Tuhan ini perlu diambil iktibar oleh kita yang masih lagi bernyawa untuk memakmurkan bumi menurut tuntutan PenciptaNya. Setiap peristiwa yang berlaku berdasarkan sebab dan akibat (cause effect) manusia sendiri. Gejala maksiat bermaharajalela , fitnah berleluasa ,seks bebas sehingga melahirkan anak luar nikah ( lebih 234,647 Berita Harian 21 Mac 2011 dari tahun 2006-2010 ) cukup menggerunkan.
Kisah Manusia Di Telan Bumi
Allah SWT yang mengetahui rahsia langit dan bumi berkuasa menggegarkan bumi menurut kehendaknya. Manusia tidak perlu memerah otak memikirkan setiap kejadian yang berlaku kerana akal kita tidak mampu menaakulkannya. Al Quran sarat dengan peristiwa yang berlaku keatas umat terdahulu seperti mana yang dialami oleh kaum Nabi Nuh As di ditenggelamkan dalam tsunami besar , kaum tsamud yang diterbalikan bumi, Firaun dan tenteranya ditenggelamkan di Laut Merah dan Qaruun ditelan bumi kerana keangkuhan dan ketamakannya. Benarlah firman Allah "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia sendiri supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar " (ArRuum: 41) .
Wallahu a'lam .
Al Fakir Che'Yahya Che'Soh
Al Fakir Che'Yahya Che'Soh
Biology Teacher,
Pengetua SMKDK
Kuala Lumpur.
Pengetua SMKDK
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment