Sunday, April 24, 2011

MANUSIA KHALIFAH DI BUMI

Manusia ialah makhluk yang paling baik dan istimewa berbanding ciptaan Allah yang lain. "Sesungguhnya kami telah mencipta manusia sebaik baik kejadian" (Attien :4). Keistimewaan ini kerana manusia dianugerahkan akal fikiran dan nafsu yang sempurna (iman dan amal) untuk melaksanakan tugas dan memikul tanggungjawab sebagai khalifah di bumi." Sesungguhnya Aku akan menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi" (Albaqarah :30). Khalifah bermaksud menjadi wakil Tuhan untuk mengurus tadbir bumi dengan baik berpandukan peraturan dan ketetapan yang termaktub dalam AlQuran dan Sunnah Nabi SAW untuk kesejahteraan umat manusia sejagat sebagai Rahmatan lil 'Alamin . Tanggungjawab khalifah tidak diberi kepada makhluk lain kerana mereka tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Manusia Secara Harfiyah

Secara harfiyah (umum) Allah SWT menyebut manusia sebagai An Nas, Al Insan dan Bani Adam. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, Tuhan mengutus para Rasul dan Nabi membawa ajaran Tauhid (Aqidah) sepertimana termaktub dalam kitab Taurat (Nabi Musa AS), Zabur (Nabi Daud AS), Injil (Isa AS) dan Al Quran (Muhammad SAW) untuk menuntun manusia ke jalan yang lurus . Al Quran merupakan pelengkap kepada semua syariat dari langit sebagai hudan lilmuttaqien iaitu petunjuk bagi orang beriman dan bertakwa.

Martabat Manusia





Sumber Video: You tube
Sheikh Sudais Imam Masjidil Haram Makkah
Surah Al Baqarah


Sungguh mulia dan tingginya martabat manusia bilamana Allah SWT sendiri telah mengamanahkan bumi ini untuk diurus tadbir dengan sebaik baiknya. Firman Allah ini menyebabkan para malaikat bertanya kepada Tuhan mengapa manusia perlu diciptakan sedangkan mereka sentiasa membuat kerosakan dengan menumpahkan darah sesama sendiri sedangkan para malaikat tidak pernah mengingkari perintah . Allah SWT menegaskan sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang Aku ketahui. Tuhan berfirman kepada para malaikat supaya tunduk hormat (sujud) kepada Adam As . Semua Malaikat sujud kecuali IBLIS kerana berasa dirinya lebih mulia. Manusia diciptakan dari tanah dan Malaikat dari Nur (cahaya) (Al Baqarah :34)

Sumpah Iblis Laknatullah

Iblis yang pada asalnya dalam kalangan para malaikat telah mengingkari perintah Allah telah bersumpah untuk melaksanakan tipu daya (makar) menyesatkan keturunan Adam As hingga ke hari kiamat. Tuhan mengingatkan manusia supaya menjauhi syaitan kerana ia adalah musuh yang paling nyata . Pujukan dan rayuan Iblis laknatullah yang cukup licik menyebabkan Nabi AdamAS bersama isterinya Hawa memakan buah larangan menyebabkan mereka diperintah turun ke bumi meninggalkan segala kemewahan dan kesenangan di syurga . Nabi Adam As tidak berhenti menangis berdoa kepada Allah memohon diampunkan atas kesilapan. "Rabbana Dzalamna anfusana waillam taghfirlana watarhamna lanakunan naminal khasirin ". Tuhan Yang Maha Pengasih Maha Penyayang memperkenankan doa hambaNya . Sejak peristiwa tersebut Adam As dan Hawa isterinya menjadi manusia terawal menghuni bumi. Dari zuriat mereka berdua, manusia berkembang biak silih berganti generasi hinggalah kepada kita sekarang.

Bukan Semulajadi

Hamparan bumi luas terbentang dihiasi indah gunung ganang menghijau kaya pelbagai spesis flora dan fauna menjadi saksi kebesaran dan keagungan Tuhan. Siapa yang menanam dan menumbuhkan pelbagai jenis spesis tumbuhan sejak berkurun atau mungkin terjadi dengan sendiri ? (incidental) . Kita telah diajar sejak berdekad dengan terminologi yang salah untuk mentafsir sesuatu sehingga mudah menyebut alam semula jadi, air terjun semula jadi sedangkan hakikatnya ialah alam ciptaan Illahi yang tidak mungkin terjadi dengan sendiri.
















Alam ciptaan Illahi  BUKAN  semulajadi .
Gambar: internet

  
Hutan tempat bermukimnya bermacam jenis haiwan dan tumbuhan menjadi penyumbang oksigen untuk kelestarian kehidupan manusia dan haiwan di bumi. Dari puncak bukit terpancar mata air yang jernih, sejuk dan segar melalui celah celah batu dan akar kayu berkumpul membentuk air terjun yang sungguh menakjubkan yang kemudiannya mengalir melalui lembah, danau, tasik dan akhirnya ke laut. Lautan merupakan khazanah alam yang kaya dengan sumber kehidupan tidak pernah putus untuk keperluan hidup manusia kendati pun (sekali pun) diancam dengan berbagai aktiviti penerokaan. Sejak berabad lautan menjadi nadi utama laluan kapal yang membawa barang dagangan ke serata dunia. Hubungan ekonomi antara negara berkembang pesat sejak sekian lama sebelum wujudnya perkhidmatan udara. Demikian Allah SWT mengatur dan menyusun ekosistem alam yang sungguh sistematik tetapi sangat sedikit manusia yang bersyukur.

Mendidik Manusia

Manusia perlu di didik dengan penuh hikmah dan bijaksana (wisdom) kerana naluri mereka sangat sukar menerima sesuatu perkara yang bertentangan dengan kehendaknya. Dalam diri setiap orang sering berlaku pertembungan antara kebaikan dan keburukan yang memerlukan pertimbangan akal secara waras dan rasional. Kewarasan akal bergantung kepada mutiara iman yang menunjang dalam jiwa melalui proses pendidikan yang berterusan. Jika pertimbangan akal mengatasi kehendak naluri (nafsu) manusia pasti memperoleh sakinah dan al falah tetapi andai sebaliknya ia akan kecundang dalam kesengsaraan yang berpanjangan. Justeru tidak hairan dalam realiti kehidupan ini bukan sedikit cerdik pandai terjebak ke lembah kehinaan sanggup menjual diri, membunuh bayi, bersedudukan, memakan rasuah dan terlibat dengan jenayah berat sehingga terpaksa merengkok dalam penjara. Tekanan emosi yang tidak terkawal mendorong segelintir manusia mengambil jalan nekad dengan menghabiskan usia kerana tiada kekuatan iman menanggung musibah yang melanda. Peranan dakwah tidak hanya bergantung kepada ustaz dan ilmuan Islam semata mata malah para artis dan komuniti boleh menjadi model kepada anak-anak menyampaikan mesej melalui lagu berkonsepkan ketuhanan . peranan media dalam menyebarkan maklumat yang berintegriti mempunyai impak yang sangat besar membentuk minda anak muda yang sedang mencari identiti diri. Mata pena lebih tajam dari mata pedang. Demikian kata pepatah. Ketika ini saluran media yang beroperasi selama 24 jam ialah Radio IKIM yang mengetengahkan hiburan berinformatif diselang seli dendangan lagu lagu nasyid, alunan zikir dan bacaan wahyu Illahi oleh imam muktabar boleh meruntun hati yang mati. Pengacaranya yang berkarisma, berilmu,berwibawa dan berkualiti menjadi penggerak utama Radio IKIM sebagai wadah untuk mendidik masyarakat. Syabas dan tahniah kepada Radio IKIM yang menjadi penghibur kami sekeluarga sejak ia berkumandang di udara.

Bumi Nazak

Mutakhir ini pelbagai fenomena alam berlaku silih berganti di beberapa negara . Gempa bumi kerap berlaku melanda negara negara seperti Indonesia, New Zealand, China dan terkini Jepun dengan 9.0 skala ritcher menyebabkan tsunami yang sangat dahsyat mengorbankan ribuan nyawa dan kehilangan harta benda. Ombak menggunung ,menghempas dan menyapu bersih bangunan, rumah kediaman, kenderaan menjadikan utara Jepun seperti tidak pernah dihuni manusia . Demikian juga di Acheh, Thailand, Malaysia ,Sri Langka dan India pada penghujung tahun 2004 yang lalu mengambil ratusan ribu nyawa .




Sumber gambar : Utusan online


Semua kejadian ini menunjukkan bahawa usia bumi semakin tua dan semakin nazak. Peringatan Tuhan ini perlu diambil iktibar oleh kita yang masih lagi bernyawa untuk memakmurkan bumi menurut tuntutan PenciptaNya. Setiap peristiwa yang berlaku berdasarkan sebab dan akibat (cause effect) manusia sendiri. Gejala maksiat bermaharajalela , fitnah berleluasa ,seks bebas sehingga melahirkan anak luar nikah ( lebih 234,647 Berita Harian 21 Mac 2011 dari tahun 2006-2010 ) cukup menggerunkan.

Kisah Manusia Di Telan Bumi

Allah SWT yang mengetahui rahsia langit dan bumi berkuasa menggegarkan bumi menurut kehendaknya. Manusia tidak perlu memerah otak memikirkan setiap kejadian yang berlaku kerana akal kita tidak mampu menaakulkannya. Al Quran sarat dengan peristiwa yang berlaku keatas umat terdahulu seperti mana yang dialami oleh kaum Nabi Nuh As di ditenggelamkan dalam tsunami besar , kaum tsamud yang diterbalikan bumi, Firaun dan tenteranya ditenggelamkan di Laut Merah dan Qaruun ditelan bumi kerana keangkuhan dan ketamakannya. Benarlah firman Allah "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia sendiri supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar " (ArRuum: 41) . 

Wallahu a'lam .
Al Fakir Che'Yahya Che'Soh
Biology Teacher,
Pengetua SMKDK
Kuala Lumpur.

Friday, April 22, 2011

Mesyuarat Pengetua P.Dickson 19-22 April 2011

Mesyuarat tersebut bertujuan membincang halatuju pendidikan negara dengan memberi fokus kepada KEMENJADIAN MURID. Kertas pertama dibentangkan oleh KSPS En. Abd. Halim Ismail dengan tajuk Hatatuju Pendidikan yang mengupas intisari buku ucapan KPPM di Genting Highlands dalam seminar pendidikan baru baru ini. Kertas kedua di sampaikan oleh Timbalan pengarah Pelajaran PPW Sentul Puan Rohana Mahmud dengan tajuk Melestarikan Kepimpinan Sekolah. Puan Roaini Jaafar membentangkan kertas berkaitan dengan HEADCOUNT dan Puan Noriah Ahmad menyentuh tajuk KEWANGAN .


Friday, April 15, 2011

Mengenal Manusia




Proses kejadian manusia sungguh misteri. Bermula dari setitik air yang hanyir, hamis dan hina (MIMMA IMMAHIN) keluar dari saluran kemaluan lelaki masuk ke saluran perempuan(suami-isteri),berubah bentuk menjadi segumpal darah, seketul daging, membentuk tulang - tulang dan dibungkus dengan daging , kemudian lengkap menjadi Janin membesar dalam rahim wanita sehingga cukup tempuh 9 bulan 10 hari lahir seorang bayi. Kehidupan seorang bayi sangat lemah memerlukan perhatian kedua ibu bapa sepanjang masa sehinggalah anak beransur membesar, meningkat remaja dan akhirnya menjadi dewasa.Kemudian Allah SWT benar-benar menegaskan bahawa manusia akan dimatikan (THUMMAINNAKUM BA'DAZAA LIKALAMAYYITUUN) . Benar kata Allah "Hendaklah manusia fikirkan dari apa dia dijadikan" QS At Thariq 5 .

Seekor sperma

Sperma ialah sel lelaki yang mengandungi spermatozon (benih) yang mempersenyawai sel telur wanita (ovum) .Setiap ejakulasi (pancutan sperma) berlaku jutaan sperma dikeluarkan namun yang mampu menuju telur hanya seekor sahaja . Sperma yang lain akan mati kerana tidak mampu melepasi dinding ovum yang kuat .



Sperma mempersenyawai sel telor.

Sumber gambar: Internet

Persenyawaan berlaku sebaik saja sperma memasuki sel telur membentuk zaigot yang tersimpan di dalam uterus ibu. Sel sel membelah diri menjadi dua, empat enam dan seterusnya. Proses pembelahan diri berlaku terus sehingga sekelompok sel mula membentuk organ tubuh seperti jantung, paru-paru, pankreas ,sel otak saraf tunjang dan akhirnya lengkap dengan struktur anatomi yang nyata.

" Dialah yang mencipta kamu dari tanah kemudian dari setitik air mani, sesudah itu menjadi segumpal darah, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada suatu masa (dewasa), kemudian sampai tua, diantara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami (nya)". Al-Mukmin 67

Manusia yang mempunyai pelbagai ragam perangai dan tingkahlaku asalnya dari seekor sperma yang dicipta Tuhan menjadi Manusia. Benar kata Maher Zain dalam bait bait lagunya " when the babies born so helpless and weak, why deny what's infront of eyes , the biggest miracle of life .


Sumber Youtube                                        
upload by Ieda Hashim

Kemenjadian Manusia

Ilmu pengetahuan moden telah membenarkan pengakuan Al Quran tentang kejadian manusia lebih 1400 tahun yang lalu . Bagaimana gen yang diwarisi mempengaruhi watak dan tingkahlaku manusia secara mutlak. Tendensi manusia memilih jalan hidup juga sebahagian besar dipengaruhi oleh hereditinya. Kecerdasan IQ dan EQ menentukan dominasi kromosom yang terdapat dalam gen seseorang disamping faktor luar dan persekitaran hidup yang turut menyumbang kearah pembangunan kecerdikan manusia.


Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menekankan kepada kemenjadian manusia iaitu kecergasan jasmani, kestabilan emosi, kekuatan intelektual dan kesyumulan rohani (JERI). JERI merupakan gagasan Kementerian untuk melahirkan modal insan negara yang berwawasan , mempunyai jati diri unggul dan futuristik untuk kelestarian pendidikan negara . Negara memerlukan cendekiawan berbobot (berkualiti) yang dapat menyumbang idea dan tenaga untuk pembangunan negara.


Muhasabah Diri


Jika kita cuba mengintrospeksi diri secara akli sudah pasti akan bertemu dengan hakikat kejadian rohani dan jasmani manusia. Akal merupakan senjata paling ampuh yang dicipta Tuhan untuk menilai setiap tindakan dan perbuatan kerana kemenjadian manusia terletak kepada kekuatan daya mindanya yang mampu menyaring segala bentuk kemakrufan (kebaikan ) dan kefasadan (keburukan) . Perbuatan akal ialah mampu melaksanakan setiap tuntutan Tuhan tanpa bahas dan menjadikan nafsu yang ada dalam diri tunduk dan patuh setiap perintah Allah.  Anjuran membaca dan memerhati ayat-ayat Allah dengan tadabbur merupakan  tuntutan agama supaya manusia tidak mudah lupa diri dan bangga dengan kemampuan yang dimiliki. Seorang Ketua yang benar-benar beriman dengan ayat Allah,  ia akan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin kerana yakin disana nanti akan dipersoalkan setiap perbuatan dan tindakan yang dilakukan .


Introspeksi diri,
Che'Yahya Che' Soh
BIOLOGY TEACHER.


Wednesday, April 13, 2011

Perpisahan PK HEM

PK HEM SMK Danau Kota Pn Sharimah Ramli will get a new post as a Senior Assistant Academic and Administration at SMK Puteri Jaya effective 1 April 2011. Pn Sharimah seorang guru yang baik, berdisiplin dan peramah. Beliau sentiasa datang awal ke sekolah (6.30pagi) setiap hari. Saya sempat bersama beliau selama hampir dua tahun sama sama bertanggungjawab membina imej sekolah terutama pembentukan sahsiah dan pelajar yang terdiri dari pelbagai latar belakang, etnik dan budaya . Peristiwa yang cukup menguji kekuatan intelektual ialah bilamana berlaku insiden "BOM SEKOLAH" (Sebenarnya mercun) seperti di laporkan Harian Metro pada 11 Mac 2011 membuatkan beliau sangat tertekan tetapi tidak panik. Selaku pengetua saya memberikan semangat dan motivasi kepada beliau supaya bertenang. Beliau menyediakan laporan dan rentetan peristiwa yang berlaku dengan penuh teliti untuk dipanjangkan kepada pihak atasan. Kami selalu berbincang dan bermusyawarah sebelum mengambil sebarang keputusan dan tindakan. SELAMAT BERTUGAS DI TEMPAT BARU .

Monday, April 11, 2011

ANGIN SORSORA

Planet bumi tempat bermukim seluruh organisma hidup dicipta Tuhan untuk kesejahteraan sejagat. Allah menghamparkan bumi luas terbentang dipayungi lengkungan langit sebagai bukti kekuasaanNya. Bentuk demografi bumi yang berbukit bukau bergunung ganang, gersang , kering kontang bersahara dan sebahagian besarnya di liputi air menjadikan planet ini seimbang dan sesuai sebagai tempat kehidupan manusia ,haiwan dan tumbuh tumbuhan. Manusia dicipta Tuhan untuk memakmurkan bumi. Memakmurkan bumi bermaksud memelihara kelestarian ekologi alam tetap utuh untuk kesinambungan generasi akan datang. Manusia ialah makhluk Allah yang pertama menghuni bumi . Manusia tersebut ialah Nabi Adam As bersama isterinya Hawa yang diturunkan ke bumi angkara tipu daya (makar ) iblis laknatullah. Sejak itu bertebaranlah zuriat manusia hinggalah kepada kita sekarang ini. Manusia satu satunya makhluk bertamaddun yang membolehkan mereka menguasai bumi dan langit . Manusia mampu meneroka angkasa lepas, menjejak kaki ke bulan dan mengetahui hidupan didasar lautan. Keistimewaan manusia ini kerana mereka dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan akal yang sempurna berbanding makhluk lain.

Sunday, April 10, 2011

MINGGU PPda

Esok 11 April adalah minggu PPda sekolah. Pengetua diminta menyampaikan ucapan dan merasmikan program tersebut. Pendidikan Pencegahan Dadah dalam kalangan pelajar sekolah bukan sekadar acara memenuhi takwim sahaja tetapi yang paling dominan ialah memupuk kesedaran pelajar tentang bahayanya najis dadah yang boleh menghancurkan bangsa . Kesan penyalahgunaan dadah (drug) menimbulkan pelbagai kerosakan kepada masyarakat seperti perzinaan , buang anak , pembunuhan dan kehancuran institusi keluarga, masyarakat , bangsa dan negara. Kerajaan telah melaksanakan hukuman yang berat "gantung sampai mati" jika seseorang individu disabitkan dengan pengambilan dan pengedaran dadah. Persoalannya mengapa ada kalangan manusia yang sengaja mengambil risiko terbabit dengan dadah? ...

Saturday, April 9, 2011

School Cross Country / Road Run

Today 9 April 2011 another school program is going on schedule. The event starts at about 8.30am and completely finish at about 11.30 am. Pengurusan kurang teratur dan kelam kabut pada peringkat awalnya namun semuanya berjalan lancar.

Sunday, April 3, 2011

TUAN RUMAH BADMINTON

SMK Danau Kota menjadi Tuan Rumah Badminton untuk sekolah sekolah di daerah Keramat yang berlangsung mulai 4 -6 April 2011 di LLB Court Badminton Setapak. Dalam masa yang sama pasukan takraw sekolah terbabit dalam perlawanan di Stadium Kg Pandan. We hope we can win all the games. InsyaAllah. In the afternoon Tuan Amran Ab. Hamid Principal of SMK Taman Seri Rampai came with two guys and we have a talk about school progress . They all appreciate and praise our school look nice, clean and well organize.

Friday, April 1, 2011

Pantun Bestari


SMk Danau Kota nama di beri
Dikelilingi bangunan dan pangsapuri
Sekolah cantik gagah berdiri
Warga beretika, dinamik bestari

Pelajar beretika dinamik bestari
Menjadi lambang kemegahan kami
Seluruh warga berpadu janji
Menjadikan sekolah indah berseri

Bersih berseri lambang integriti
Sebagai model sekolah bestari
Seluruh warga bersatu hati
Rukun damai sepanjang hari

Tidak siapa pernah menyangka
Danau terbiar ditebus guna
Perancangan sekolah sentiasa dirangka
Memberi pendidikan dengan sempurna

Sekolah ternama dipinggir kota
Menjadi tumpuan etnik bangsa
Kekal cemerlang kejayaan kita
Kerana perpaduan setiap masa

I Malaysia inspirasi negara
sebagai wadah integrasi bangsa
Sekolah ceria warga sejahtera
Menuntut ilmu penuh selesa

Kami datang penuh harapan
Sedini pagi tanpa sarapan
Menimba ilmu buat persiapan
Membina kehidupan masa hadapan

Tugas guru sangat mulia
Membangun akhlak setiap manusia
Pelajar kami jujur dan setia
Maruah sekolah terus terpelihara.

Keutuhan moral tunjang kehidupan
Kehancuran peradaban kerana kejahilan
Sekolah cemerlang tonggak harapan
Menjadi kenyataan bukannya khayalan

Dalam meniti arus perjuangan
Kekadang sirna dipertengahan jalan
Semangat guru kental berpanjangan
Mendidik pelajar menjadi amalan.

Pantun ini aku cipta khusus untuk sekolah ku. Mungkin lirik dan bait bait yang dimuatkan tidak memenuhi prosa sebenar kerana aku bukan seorang penyair, pemantun dan penulis puisi . Hanya sekadar mendapat ilham lalu ku tuangkan curahan minda ini dalam bentuk pantun mengikut intuitif sendiri. Aku terjemahkan dalam tulisan untuk tatapan semua warga tercinta SMK DANAU KOTA .


Che'Yahya Che'Soh
Pengetua.
csyahya 1/4/2011.

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...