Thursday, February 11, 2016

Mencari ilmuan sengoti

Penulisan ialah proses mempengaruhi minda untuk mentaksir, menganalisis, mena'akul, mencerakin dan membuat solusi terhadap sesuatu isu dalam kehidupan. Gagasan pemikiran yang berfokus kepada  pembangunan diri, masyarakat, bangsa dan negara merupakan usaha murni untuk melahirkan modal insan berwibawa, mempunyai jati diri sebagai warga yang berintegriti.  Ketajaman minda dan ketulinan peribadi melambangkan ilmuan sengoti @ sejati yang berfungsi membawa umah ke arah kebaikan dalam setiap dimensi kehidupan. Hendaklah ada dalam kalangan manusia yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran dan kefasadan. Indikator ilmuan seseorang dapat di ukur melalui wacana minda, perkataan, perbuatan dan tulisan yang di luahkan dalam setiap karya yang di publikasi melalui berbagai sumber samada media maya atau cetak. Setiap manusia mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing. Tugas dan tanggungjawab merupakan amanah Tuhan yang perlu dilakukan sebaik mungkin untuk mencari hasanah di dunia dan mendapat hasanah di akhirat seperti mana penutup doa yang selalu kita baca se usai solat. Dunia di cipta Tuhan sebagai jambatan menuju akhirat. 

Tujuan penciptaan

Matlamat kehidupan manusia jelas untuk beribadah kepada Allah menjadi hamba yang bertaqwa. Hamba yang bertaqwa sentiasa menuntun diri mencari kebenaran, memperelok amalan harian, menyantuni setiap makhluk ciptaan Tuhan dan beradab dengan alam.  Seandainya manusia menggunakan minda fikir secara aqliah menganalisa setiap ciptaan Allah pasti bertemu dengan hakikat kebenaran. Lihat lah ke dalam diri untuk mencari Tuhan, mengagungkan kebesarannya, mensyukuri segala nikmat pemberianNya, mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian yang asalnya bermula dari titisan sperma yang berenang menuju sel telur hingga bersatu membentuk zigote, membesar dalam uterus ibu, di tiupkan roh oleh Malaikat dengan perintah Allah sehingga setiap sel, organ dan tisu badan berkontraksi antara satu sama lain mampu bergerak dan bernyawa kemudiannya lahir sebagai manusia. Nikmat apa lagi yang kita ingkari daripada Tuhan? Epistimologi ilmu sebenarnya mencari titik temu bersandarkan teologi yang benar bersumberkan Al Qur'an Al Kareem dan Hadith sebagai penyuluh kehidupan untuk menuntun diri mengenal hakikat penciptaan Tuhan.Ilmu perlu di pelajari dan di kaji secara terperinci untuk membuktikan keabsahannya. Indahnya struktur permukaan bumi yang terdiri daripada gunung ganang, lembah dan pamah, danau, sungai hutan dan gurun menjadi bukti kekuasaan Ilahi untuk manusia mengambil pengajaran supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kerosakan di jagat raya ini. Makan dan minum lah tetapi jangan sekali-kali melakukan kerosakan di muka bumi. Demikian pesan Tuhan.

Ilmu milik Allah

Manusia memiliki kemampuan sangat terbatas dalam segala segi. Ilmu manusia seumpama setitis air yang turun dari jari menggambarkan betapa kerdilnya hamba di sisi Tuhan. Justeru jika kita memperolehi sedikit ilmu dengan prediket Sarjana atau PhD dalam pengkhususan tertentu seharusnya kita bersyukur bukannya berasa diri serba hebat dan bijak daripada orang lain. Prinsip kehidupan, apa yang kita ada, orang lain tidak ada, apa yang orang lain ada kita tidak ada kerana mustahil  manusia memiliki segala-galanya. Demikian sedikit analogi mengenai ilmu. Orang berilmu mempunyai kesantunan budi kemurnian pekerti kerana keikhlasan diri. Perdebatan dan perbahasan secara professional untuk mencari titik temu berasaskan keredhaan Allah adalah baik untuk kerukunan umah tetapi jika hanya sekadar menunjukan ketinggian ilmu masing masing sebenarnya telah jauh tersasar dari norma Ketuhanan. Orang berilmu seharusnya mampu berlapang dada, sejuk minda penuh keterbukaan kendati pun tidak menguntungkan diri. Realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini terlalu langka mencari ilmuan sengoti yang berbakti semata mata  kerana Ilahi. Kita berasa khuatir kalau-kalau termakan jerat syaithan yang ingin melaga-lagakan orang berilmu. Natijahnya selama bertahun tahun memerah minda dan mengorbankan harta benda  untuk memperolehi ilmu menjadi sia-sia. Nauzubillahimin zaalik.

Petunjuk kebenaran

Sejarah membuktikan Baginda Nabi Saw tidak pernah berdebat dengan mereka yang tidak mahu mengikuti ajarannya tetapi sentiasa mempamirkan kesantunan budi dan keindahan perilaku untuk mendekatkan mereka kepada Islam. Gelaran uswatun hasanah di berikan Tuhan kepada Baginda Saw sebagai ikon yang wajib di ikuti oleh umat . Orang awam yang dangkal ilmu Agama seperti saya pasti terpinga pinga dengan pendekatan cendekiawan Islam yang kelihatan berbangga dan hebat dengan ilmu mereka. Kemanakah nak di bawa umat ini? Orang bukan Islam mempunyai tanggapan negatif terhadap perilaku figurawan Muslim kerana mempamirkan akhlak dan etika yang tidak Qur'anik dalam menyelesaikan masalah umah. Lihatlah kedalam diri untuk mengenal indahnya ciptaan Tuhan di mana bersatunya minda, hati dan perasaan untuk mencari kebenaran. Ilmu yang di tuntut Islam ialah meletakan keikhlasan sebagai indikator ketaqwaan seperti yang di miliki para Utusan Tuhan iaitu Sidiq Amanah Tabligh dan Fatonah dalam menyampaikan seruan dakwah kepada manusia. Gabungan keempat unsur ini seharusnya ada dalam diri ilmuan Islam sebagai petunjuk kebenaran. Ini lah sebenar indikator ilmuan yang di ajar oleh Islam untuk membawa umat mengenal Tuhan.


Wallahua'lam
Drs. Che Yahya Che Soh
PPPS DG 54
Pengetua Smk Sinar Bintang@Star
Segambut Park City
KUALA LUMPUR.
Isnin 22 Feb 2016.


No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...