Friday, November 27, 2015

Ya Allah Kembalikan Kami Ke Dunia

Tidak ramai orang yang suka membaca kisah-kisah mengenai  kematian walau pun manusia tahu  suatu hari nanti dia PASTI akan meninggalkan dunia ini. Saban hari setiap saat dan waktu ada saja orang mati baik dalam kalangan rakan sahabat dan keluarga terdekat namun sejauh mana kita mengambil pengajaran dan ibrah untuk mempersiapkan diri menghadapi sakratulmaut yang kedatangannya tidak pernah diundang. Ada orang pergi secara tiba-tiba yang tadinya kelihatan berbual mesra bersama teman dan sahabat petangnya telah tiada, ada yang terkorban di jalan raya dan berbagai cara kematian lagi yang pastinya memberi keinsafan kepada kita bahawa hidup ini terlalu singkat. Manusia sentiasa menghindari diri dari kematian namun bila ketentuan tiba di mana pun kita berada maut tetap menjemput kerana setiap yang bernyawa pasti mati. Apabila tiba ajal sesaat dan sedetik pun tidak di lewat atau dipercepatkan. Demikian penegasan Al Qur'an Al Kareem mengenai kematian. Datang dan pergi merupakan sunnah alam bagi setiap yang bernama makhluk. Seandainya di dunia ini boleh kekal buat manusia ,nescaya Rasulullah SAW tidak akan wafat selama-lamanya.

Keabsahan Iman

Bagi mereka yang selalu menggunakan logika berasaskan akal semata-mata sudah pasti sukar mempercayai adanya kehidupan sesudah mati. Mereka beranggapan mana mungkin setelah mati ribuan tahun, tulang tulang hancur lebur bersatu bersama tanah manusia akan hidup semula? Jika kita berfikir berdasarkan epistimologi ilmu dan keabsahan IMAN, tidak mustahil di sisi Tuhan seperti mana tidak sukarnya Allah SWT mencipta manusia dari setitik mani yang bercampur hingga menjadi manusia? Bukankah manusia itu dulunya tidak wujud , kemudian dengan Izin Allah kita lahir ke muka bumi hasil perkongsian hidup ibu dan ayah. Pertanyaan mungkin masih boleh kita teruskan, ada pasangan yang telah berkahwin sejak sekian lama masih tidak mempunyai zuriat sedangkan secara Biologi mereka seharusnya mempunyai anak sebagai penghibur duka lara tetapi tidak kesampaian walau pun berbagai ikhtiar telah dilakukan. Siapa punya kuasa? Bukankah itu semua kekuasaan Allah?

Rotasi kehidupan 

Perjalanan hidup setiap manusia bermula di alam Roh iaitu sebuah tempat yang tidak boleh dicerna secara saintifik melainkan dengan iman dan keyakinan yang bulat kepada Allah Maha Pencipta Paling Sempurna. Paradigma Tauhid yang jitu menjadi indikator keyakinan manusia terhadap keagungan Tuhan. Rasulullah SAW sendiri pun bila ditanya tentang Roh, Baginda hanya menjawab ia adalah urusan Tuhanku dan aku tidak di beri ilmu kecuali sedikit. Para Roh telah bersaksi bahawa Allah ialah Tuhan Yang Berhak di sembah dan tidak ada sesuatu yang menyengutuinya.Manusia tidak perlu berfikir memerah minda  membuat pentaksiran secara holistik mencari eviden yang kukuh untuk membuktikan Roh kerana bukan tugas kita untuk menganalisis kerja Allah.Perkara yang perlu difikir oleh manusia ialah hebatnya alam semesta ciptaan Allah lengkap dengan segala keperluan manusia. Dari perut bumi adanya air, galian, emas, perak, gas, minyak dan berbagai organan yang tidak pernah kehabisan sejak bumi di jadikan. Lautan luas terbentang menjadi khazanah berharga untuk manusia yang datang silih berganti memukimi planet bumi. Bila Roh telah bersatu dengan jasad bermulalah kehidupan makhluk di bumi. Roh tidak akan mati sebaliknya berada dalam pengetahuan Allah yang tidak diketahui oleh manusia. Secara Biologi mati terjadi disebabkan kegagalan total organ tubuh berfungsi melakukan aktiviti kehidupan kerana seluruh sistem tidak lagi berkontraksi antara satu sama lain.

Alam Rahim

Proses reproduksi manusia di alam rahim di awali dengan persenyawaan sel iaitu sperma dan ovum dalam tempoh tertentu sebelum menjadi darah daging dan tulang tulang sehingga sempurna pembentukan janin. Dari segi genetik setiap anak yang lahir akan mewarisi sifat kedua dua ibu bapa atau induknya bergantung kepada kromosom yang paling dominan mewarisi keturunan mereka. Allah telah mengutuskan Malaikat meniupkan Roh apabila kandungan berumur empat bulan dan menetapkan jodoh pertemuan ajal maut dan tanah kubur bagi setiap manusia. Bagi siapa yang ingin mencari  kebenaran hakiki pasti bertemu dengan jawaban  kerana setiap yang berlaku di muka dunia ini termaktub di dalam Al Qur'an yang bertebaran dalam berbagai Surah dan Ayat untuk manusia mengambil pengajaran dan tamsilan. Alam rahim menjadi tempat kedua manusia hidup. Rahim ibu yang sempit menjadi dunia sementara kepada setiap manusia kecuali Nabi Adam As dan isterinya Hawa yang tercipta secara kun fayakun. Allah SWT mempersiapkan setiap wanita dengan organ pembiakan yang sempurna berkembang secara elastik bergantung kepada perkembangan janin  yang membesar dalam kandungan hingga cukup tempohnya  9 bulan lebih lahir ke dunia sebagai seorang bayi.Terlalu banyak rahsia kehidupan yang tidak diketahui manusia mengenai keajaiban ciptaan Tuhan tetapi terlalu sedikit mereka yang bersyukur. Al Qur'an menyebutnya " Qalilamma Tasykuruun".

Alam Dunia 

Dunia dijadikan Tuhan sebagai jambatan menuju akhirat. Alam duniawi sebagai tempat manusia berdomisili sejak mula lahir hingga berakhir kehidupan. Ada antara manusia dilanjutkan usia hampir seratus tahun hingga pikun dan tidak mengetahui lagi apa yang dahulunya mereka ketahui. Ada juga hanya beberapa saat sebaik mengenal dunia  dipanggil kembali oleh Ilahi. Semuanya itu menjadi bukti kekuasaan Tuhan Pencipta sekelian alam yang boleh berbuat apa sahaja mengikut kemahuanNya.Tujuan manusia dihantar ke dunia untuk berbakti kepada Tuhan dengan menyembah dan mematuhi segala perintahNYa supaya menjadi insan bertaqwa. Apabila bertaqwa bermakna merangkumi segala perbuatan yang baik yang diredhai Allah kerana kalimah taqwa ini menjadi indikator perlakuan dan akhlak manusia . Pesanan taqwa diulang-ulang setiap kali khatib berdiri di mimbar semasa membaca khutbah untuk mengingatkan manusia  supaya Ittaqullah dalam setiap masa dan keadaan.Sesungguhnya orang orang  bertaqwa itu tempatnya di syurga Jannaatun Naim yang di sediakan Allah kepada hambaNya . Orang orang bertaqwa mempunyai ciri kehambaan yang sejati yang tidak terpedaya dengan kekayaan dan kedudukan yang istimewa dalam masyarakat. Rasa QANAAH menyebabkan mereka berasa cukup dengan apa yang ada sebagai bekal menghadap Allah Tuhan Yang Maha Esa di alam sana.

Alam Kubur

Kubur merupakan tempat pertama manusia berdiam selama alam dan seluruh isinya masih belum Kiamat.Liang lahad menjadi tempat manusia bersemadi sebelum di bangkitkan untuk perjalanan ke Mahsyar. Seluruh anggota badan relai dan lerai umpama kepingan kayu yang di makan anai-anai hancur lebur bersatu dengan tanah sementara menunggu untuk dibangkitkan.Sepanjang berada di barzah Mungkar Nakir tetap menjalankan tugas mereka menyoal siasat manusia tanpa henti dan bagi mereka yang berdosa pastinya menerima balasan azab yang tidak tergambar dengan kata-kata.Justeru manusia memohon sangat-sangat kepada Allah untuk kembali semula ke dunia walau pun sesaat untuk melakukan amal soleh kerana mereka benar-benar melihat , mendengar segala kebenaran yang Allah gambarkan dalam Al Qur'an.  Apabila sangka kala di tiupkan manusia akan bangkit dari kubur masing-masing dengan cara tersendiri. Ada yang berjalan, ada yang mengesut, ada yang beniarap bergantung kepada amalan masing masing semasa hidup di muka dunia menuju mahkamah Rabbul Jalil untuk mendapat pengadilan Allah di Mahsyar.

Far East Menenti di Barzah

Alam Mahsyar 

Seluruh manusia berkumpul di Mahsyar sejak zaman Nabi As untuk mempertanggungjawab segala perbuatan semasa hidup di dunia. Bayangan Mahsyar dapat di lihat ketika umat Islam sedang mengerjakan WUKUF di Arafah pada setiap musim Haji dimana masing-masing sibuk dengan diri sendiri melakukan ibadah. Ada antara mereka tersesat jalan menuju khemah dan berbagai karenah yang kita saksikan dalam kalangan jamaah semasa di sana. Apabila manusia berada di Mahsyar   mulut dan lidah dikunci, lain-lain anggota seperti tangan, kaki bebas berkata-kata  sebagai persaksian atas perbuatan mulut dan lidah yang selalu berdusta. Manusia tidak boleh lari dari azab di mana di riwayatkan matahari sangat dekat di atas kepala dengan kepanasan yang tidak tergambar oleh perkataan. Setiap amal yang baik walau pun sebesar zarah di perlihatkan Tuhan demikian juga sebaliknya. Justeru itu mumpung kita masih bernyawa pergunakankanlah setiap hembusan nafas secara berkualiti untuk berubudiah kepada Allah dalam setiap tindakan dan perbuatan. Setelah kembali bersedialah dengan pembalasan atau ganjaran setimpal dengan amalan semasa di dunia.

Syafaat Rasulullah SAW

Berbahagia lah mereka yang neraca timbangannya melebihi amalan kebaikan dan celakalah mereka yang Mizan mereka condong kepada keburukan. Bertambah derita lagi mereka yang di beri kitab melalui tangan kiri dan beruntunglah mereka yang menerima kitab amalan melalui tangan kanan. Bertuahlah mereka melintasi siraath dengan secepat  kilat dan teramat malanglah mereka yang tidak melepasi siraath dengan amalan. Di saat itu tidak siapa yang dapat membantu kecuali hanya syafaat daripada Nabi Muhammad SAW yang dapat membantu kita. Ya Allah Engkau mengutus RasulMu Muhammad SAW untuk menjadi saksi membawa khabar gembira dan peringatan kepada manusia.Bagaimana kita inginkan pertolongan Nabi Saw jika selama hayat dikandung badan tidak pernah mengikuti sunnah Baginda malah mempersendamainkan ajarannya? Apabila Allah dan para MalaikatNya berselawat ke atas Baginda setiap masa bermakna kedudukan Rasulullah SAW tersangat istimewa dan mulia di sisi Allah. Ajakan kepada orang-orang beriman supaya sentiasa meringankan lisannya untuk berselawat kepada Nabi SAW yang di utus ke muka bumi menjadi rahmat ke sekelian alam sangat dianjurkan oleh Al Qur'an. Ya Allah dengan kemuliaan KekasihMu Rasulullah SAW, permudahkan hisab kami, janganlah hendaknya Engkau menyeksa kami Ya Allah dan peliharalah aib kami di saat tiada siapa yang boleh menyelamatkan kecuali dengan rahmatMu jua. Ya Allah perkenankan doa kami. Aamin Ya Rabbal 'Alamin.



Wallahua'lam

Drs. Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB
Segambut Park City,
Kuala lumpur.
1 Disember,2015.



No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...