OIC kutuk serangan pengganas di Arab Saudi
KUALA LUMPUR: Pertubuhan
Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di
tiga bandar raya Arab Saudi semalam yang meragut nyawa empat pegawai
keselamatan dan menyebabkan lima orang cedera.
Setiausaha
agungnya, Iyad Ameen Madani, berkata mereka yang melakukan, merancang
atau menyokong serangan itu begitu terdesak dalam tindakan mereka hingga
sanggup menjejaskan keselamatan dan kestabilan Arab Saudi serta
rantau itu dan dunia Islam amnya.
"Seseorang yang membunuh
diri, melakukan pembunuhan dan keganasan terhadap manusia yang tidak
bersalah serta melakukannya pula pada bulan Ramadan yang mulia dan di
Al-Madinah Al Munawwarah, berhampiran Masjid Nabawi, bukanlah
orang Islam sebenar serta tidak memiliki sedikit pun nilai-nilai
keIslaman," katanya dalam satu kenyataan.
Pengebom bunuh diri
itu menjadikan Jeddah, sebuah masjid di Qatif dan satu pusat pemeriksaan
keselamatan berhampiran Masjid Nabawi di Madinah sebagai sasaran
mereka.
Madani berkata jenayah yang dilakukan itu bertentangan sepenuhnya dengan ciri-ciri seorang manusia sebenar.
"Pengganas seperti itu semata-mata menjadi alat durjana, yang langsung
tidak mempunyai perasaan dan rasional serta diperkudakan oleh mereka
yang menganjurkan radikalisme, kekacauan dan keganasan," katanya.
Madani juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa agar mereka yang cedera akan segera sembuh.
Beliau yakin pihak berkuasa Arab Saudi akan dapat menangkap saki baki
mereka yang terlibat dengan keganasan itu dan membawa mereka ke muka
pengadilan serta mendedahkan siapa sekutu mereka.
Madani
mengulangi perpaduan penuh OIC dengan kepimpinan, kerajaan dan
rakyat Arab Saudi dalam semua langkah yang diambil bagi memerangi
keganasan melalui pendekatan menyeluruh, termasuk dari segi politik,
ekonomi, sosial dan intelektual.
Beliau juga memuji kepekaan dan
kecekapan agensi keselamatan Arab Saudi yang "berjaya menggagalkan dan
menentang serangan pengganas itu".
Madani turut mengulangi pendirian tegas OIC yang menolak keganasan dalam semua bentuk dan manifestasinya.
Astro Awani online
Selasa 5 Julai,2016
No comments:
Post a Comment