Thursday, March 24, 2016

Mendamba kedamaian dunia

Masyarakat antarabangsa sekarang resah, gelisah berada dalam keadaan ketakutan dengan berbagai peristiwa serangan yang berlaku di beberapa bandar terkemuka sejak akhir-akhir ini. Beberapa bulan lepas peristiwa Paris, di ikuti Istanbul, Jakarta, dan terkini Brussels yang semuanya meninggalkan trauma yang mendalam kepada penduduk dunia. Belum lagi habis sengketa yang berlaku di Syria, Iraq, Palestine Israel dan negara-negara Timur Tengah lainnya, dunia di gegarkan pula dengan serangan bom berani mati di lapangan terbang Brussels mengakibatkan ramai nyawa yang tidak berdosa telah terkorban. Apa sebenarnya mereka mahu sehingga sanggup membunuh orang awam yang tidak berdosa? Mengapa mereka mensasarkan perbuatan kejam ini di tempat-tempat komersial  dan lokasi yang dikunjungi ramai? Orang awam yang ingin menggunakan perkhidmatan pesawat, keretapi ,bas dan perkhidmatan lainnya terganggu malah menjadi mangsa kekejaman mereka yang tidak berhati perut. Islam tidak mengajar umatnya melakukan kekejaman apa lagi terhadap anak-anak kecil, para ibu dan orang orang tua yang tidak berdaya.

selamatkan dunia dari keganasan 

csyahya victory

Thursday, March 17, 2016

Mengenal Allah

Manusia tidak pernah melihat Allah dan pastinya tidak mungkin tetapi meyakini bahawa alam semesta ini ada Penciptanya. Manusia juga tidak pernah melihat angin secara fizikal tetapi sangat memahami bentuk bentuk angin yang bertiup.Ada yang bertiup sepoi sepoi bahasa lembut dan menyegarkan, ada yang bunyinya menderu dan lebih menyeramkan seperti ngauman harimau sehingga boleh menghancurkan kehidupan. Ketidaknampakan angin secara lahiriah merupakan rahsia Tuhan yang tidak terjawab oleh para ilmuan. Mereka hanya mampu mengira dan mengukur kelajuan angin berdasarkan kekuatan dan ketinggian ombak laut. Mustahil jagat raya ini terjadi secara sendiri yang selalu di sebut dalam  istilah Sains semulajadi (nature) melainkan kuasa Allah yang mencipta alam ini. Langit yang luas membiru mengandungi awan kelihatan terapung apung di antara bumi dan langit, kekadang mega mendung berlaku kerana menampung beratnya kandungan air yang kemudiannya turun ke bumi sebagai hujan. Bumi yang dulunya kering kontang kembali segar dengan siraman air dari langit. Ternampak oleh mata seolah olah kumpulan awan itu kelihatan ringan tetapi apabila kita berada dalam pesawat dengan ketinggian 35,000 kaki di saat melanggar awan, kita rasa sungguh mencemaskan kerana gegarannya terlalu kuat menyebabkan kapal terbang terhoyong hayang sebelum kembali stabil setelah terlepas dari kumpulan awan. Ketika itu segera berpaut ingatan kepada Allah dengan menyebut AsmaNya dan bagi mereka yang bukan Islam juga otomatik terpacul dari mulut "oh my God please save our journey" . Bermakna semua manusia percaya kepada Pencipta iaitu Tuhan sebagai penyelamat dari segala musibah dan bahaya.

Remang remang senja

Di ruang angkasa yang secara  infiniti tidak terjangkau oleh pemikiran manusia, terdapat jutaan bintang (innumerable) tidak terkira banyaknya, planet planet, galaksi yang tidak mampu di imaginasi oleh manusia secara sainstifik kendati pun ada kalangan astronaut yang pernah menjejaki bulan. Baharu sahaja kita menyaksikan keagungan Tuhan melihat gerhana matahari yang berlaku di beberapa negara di belahan bumi ini kerana posisi bulan berada di antara matahari dan bumi. Terjadinya gerhana penuh dan separa menyaksikan bumi seperti berada pada remang-remang senja, apa akan terjadi sekiranya matahari tidak lagi bersinar? Kita dengar manusia bersorak gembira melihat gerhana malah kedengaran ada yang menyebut " incredible" di saat gelapnya bumi beberapa detik. Perlakuan alam sememangnya bukan fenomena tetapi kejadian yang sangat ajaib ini diperlihatkan Tuhan kepada manusia untuk memuhasabah diri tentang kebesaran Allah. Justeru umat Islam di minta melaksanakan solat sunat gerhana meminta Allah menyelamat kita dari segala bencana.Disinilah letaknya antara logika dengan iman. Sesuatu yang tidak nampak di mata memang sukar di percayai oleh manusia. Alam ghaibiah tidak dapat dicerna oleh pemikiran secara pembuktian seperti adanya hidup sesudah mati, titian siraath, azab di alam barzah, hari kebangkitan yaumil mahsyar dan catatan amalan masing-masing tanpa iman yang kukuh bertunjangkan kitabullah iaitu Al Qur'an dan Hadith Nabi Saw sebagai panduan suci yang diturunkan Allah ke muka bumi.

Bukti empirikal

Dari perspektif ilmu terbukti secara empirikal bahawa setiap kejadian makhluk di alam ini berasal dari sel yang merupakan unit asas bagi organisma hidup. Sel tidak mampu di lihat oleh mata kasar kerana terlalu mikroskopis, hanya dengan pembesaran tertentu kelihatan dengan jelas rupa bentuknya yang seakan akan berudu berekor, mempunyai badan dan kepala berenang dengan kecepatan tertentu mencari sel telur untuk di senyawai. Ilmuan meyakini proses kejadian manusia bermula dengan persenyawaan sperma dan ovum Semasa proses persenyawaan berlaku penetrasi sperma terhadap sel-sel telur yang kemudiannya sel-sel mengalami mitosis. Sebahagiannya berpecah di mana chromosome yang terdapat dalam nukleus terbagi dua. Adanya gen penentu sifat dan keturunan yang di warisi dari induk kepada anak anak ditentukan oleh DNA. Siapa kah yang menjadikan sel sel yang mampu berkembang menjadi tisu,organ dan sistem dengan lengkap dan sempurna hingga lahir sebagai makhluk bernyawa? Bukankah Allah pengatur segalanya. Mengapa sebahagian manusia membantah tentang Allah? Ilmu yang di pelajari seharusnya menjadi pengukur keyakinan terhadap kekuasaan Pencipta bukannya menggunakan cerapan minda secara logika untuk mencari kebenaran.

Perlakuan alam

Planet bumi tempat bermukim manusia dan hidupan lainnya telah mengalami berbagai proses evolusi secara perlahan sejak berjuta tahun  akibat pengaruh cuaca, pergerakan angin,hakisan ombak, gempa dan sunami sehingga merobah struktur dan lanskap peta dunia. Bumi semakin panas angkara manusia yang tidak beradab dengan alam. Bukit bukau di ceroboh dan penggondolan terus berlaku menyebabkan kawasan tadahan air semakin hilang. Terfikirkah oleh manusia jutaan spesis tumbuhan yang memagari gunung dan bukit menjadi sumber bekalan air bersih jernih yang terpancar melalui celah celah batu dan akar akar kayu kemudiannya mengalir ke lembah membentuk air terjun yang mengkagumkan. Hutan yang kaya oksigen punah ranah diperkosa manusia yang rakus untuk mengaut keuntungan. Ekosistem kehidupan flora dan fauna tidak lagi terjamin selagi manusia sewenang wenangnya menguras khazanah alam. Oleh kerana manusia tidak takut dengan Pencipta, hubungan sesama manusia semakin rapuh  dan tidak beretika dengan alam lingkungan, tunggulah saat yang dijanjikan Tuhan yang datang dalam berbagai bagai bentuk seperti banjir besar, tanah runtuh dan angin kencang yang memusnahkan seluruh kehidupan.

Antara ilmu dan iman

Mergasatwa alam terpaksa mengungsi diri jauh ke dalam hutan untuk membina habitat baharu. Tamaknya manusia sehinggakan gunung, hutan, pulau, sungai malah loji penapisan najis pun di timbus untuk di tebus guna atas nama pembangunan. Jangan salahkan takdir Tuhan jika bencana menimpa manusia tetapi terimalah balasan atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab menguras kekayaan alam untuk kepentingan diri. Memang benar kata Nabi Saw nafsu manusia itu tidak akan pernah puas kendati pun mereka memiliki dua lombong emas, sehinggalah mulut penuh dengan tanah. Pertembungan antara akal dan nafsu sering berlaku, jika tidak di bendung dengan iman pastinya merosakan diri. Nilai imanlah yang menjadi indikator kemuliaan manusia bukannya ilmu walau pun seseorang itu memiliki sarjana kerana tidak semua orang berilmu itu beriman kepada Tuhan. Antara iman dan ilmu seharusnya menjadi tunjang untuk mengenal Allah yang berhak di sembah. Oleh kerana itu pendidikan hati menjadi tunjang kemurnian pribadi yang perlu di tamrin secara konsistensi untuk menjadi hamba yang benar benar patuh kepada perintah Ilahi dan menjunjung tinggi sunnah Nabi.Lihatlah kedalam diri dengan penuh makrifat untuk mencari kebenaran kerana permulaan Agama itu ialah mengenal Allah.

 
Wallahua'lam
 DRS. Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG
PPPS DG 54
Kuala Lumpur.
Ahad 20 Mac 2016.


Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...