Muhyiddin dan Noorainee melawat Daphne High School  sempena lawatan kerja   ke Alabama.  
Muhyiddin dan Noorainee melawat Daphne High School sempena lawatan kerja ke Alabama.
Alabama: Kementerian Pelajaran menyasarkan semua 10,066 sekolah akan dilengkapi kemudahan internet WiFi 4G dalam tempoh setahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini sebahagian sekolah sudah dilengkapi WiFi, dan kemudahan itu serta peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) lain akan diperluaskan menerusi program Transformasi Pendidikan Negara. 
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas melawat Daphne High School di sini, sempena lawatan kerja dua hari ke Alabama, Amerika Syarikat, berakhir semalam.

Sekolah yang mempunyai kira-kira 1,200 pelajar itu, tahun lalu mendapat pengiktirafan Jabatan Pelajaran Amerika Syarikat menerusi program National Blue Ribbon Schools, yang menyamai konsep Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia.

Muhyiddin yang meluangkan masa hampir dua jam di sekolah itu, turut tertarik dengan kaedah sekolah berkenaan menggunakan ICT dalam pembelajaran.


Sekolah bekal komputer

“Setiap pelajarnya guna komputer riba di kelas yang dibekalkan sekolah, tapi mesti dipulangkan selepas sesi persekolahan. Komputer ini pula diinsuranskan.

“Dalam jangka panjang, kaedah ini menjimatkan perbelanjaan kerana komputer boleh digunakan pelajar lain dan apabila rosak ada insurans. Kita juga mungkin boleh menggunakan kaedah ini,” katanya yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Ditanya kemungkinan kementerian juga membenarkan pelajar membawa telefon bimbit seperti diamalkan di sekolah berkenaan, Muhyiddin menjelaskan perkara itu belum diputuskan lagi.

“Kita akan teliti sama ada pelajar kita capai tahap seperti pelajar di sini,” katanya.

Mengenai sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan, beliau yang sebelum itu mendengar taklimat pengetua, Dr Meredith Foster, berkata pelajarnya fokus terhadap bidang masing-masing dan dapat menggunakan kemahiran berfikir serta kreatif.

“Cara pembelajarannya lebih holistik, tidak tertumpu akademik tapi kokurikulum turut diberi penekanan. Mereka mempelajari dan mengikuti perkembangan negara di luar Amerika,” katanya.

Muhyiddin turut mengambil kesempatan menyoal beberapa pelajar mengenai pembelajaran dan kegiatan kokurikulum disertai, selain menjawab pertanyaan yang dikemukakan pelajar.

Lebih berdikari

“Mereka menjawab dengan berani, tahu apa yang dicakap dan lebih berdikari. Sikap dan keupayaan begini yang harus kita pupuk di kalangan pelajar Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan menerusi penggunaan ICT mungkin sebuah sekolah di Malaysia boleh dipilih untuk menjalin hubungan kerjasama dengan Daphne High School. 
Berita Harian Online 19 Januari,2013 

Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Kuala Lumpur
Sabtu 19 Januari,2013