Wednesday, August 31, 2011

Sekolah Gedung Ilmu



Pelajar -pelajar SMK Danau Kota sedang mengikuti ceramah kerjaya April,2010.

Pendidikan adalah asas kehidupan. Negara sejahtera dan maju bergantung kepada pendidikan yang diterima oleh setiap warganya . Sekolah sebagai Gedung Ilmu menjadi fabrik (kilang) menghasilkan murid mengenal huruf dan abjad hinggalah mereka berjaya menyambung pengajian keperingkat yang lebih tinggi samada dalam atau luar negara. Di sekolah para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan kegiatan berfaedah selain proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) bagi mencungkil minat,bakat dan kebolehan seseorang pelajar. Mereka dilatih supaya berani mengemukakan pandangan dan pendapat melalui pelbagai forum dan program seperti mengendalikan Majlis Perhimpunan Pagi ,mengelola sambutan Hari Guru , menjadi pengerusi persatuan / kelab untuk membina keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi.

Keperluan Pendidikan

Kerajaan telah berbelanja berbilion ringgit untuk membina keperluan pendidikan dengan melengkapkan prasarana sekolah di seluruh negara bertujuan memberi kemudahan kepada para pelajar menimba ilmu dan membina kemahiran diri bermula dari sekolah Rendah, Menengah hinggalah keperingkat Institusi Pengajian Tinggi. Peruntukan Kerajaan kepada pembangunan pendidikan negara mendapat perhatian utama dalam setiap bajet yang dibentangkan di Parlimen. Terkini dalam belanjawan 2012, semua sekolah kerajaan Menengah dan Rendah dikecualikan daripada membayar yuran . Semua rakyat sedar melalui pendidikan yang berkualiti dan berdaya saing merupakan pemangkin untuk menjana transformasi pendidikan menuju wawasan 2020 menjadi negara maju sejajar dengan inspirasi Kerajaan Rakyat Di dahulukan ,Pencapaian Di utamakan.


Transformasi Minda


Transformasi bermaksud melakukan perobahan (change).Melakukan perobahan menuntut pengorbanan dan kesedaran yang tinggi (high awereness) dalam kalangan anggota masyarakat tanpa mengira status dan kedudukan sebagai modal sosial yang paling dominan untuk kesejahteraan negara(prosperous nation). Kecemerlangan sesebuah negara sangat bergantung kepada perobahan sikap setiap warganya yang berupaya melakukan transformasi minda dengan mengamalkan nilai-nilai (values) hidup berintegriti, jujur, berdisiplin dan beretika bertunjangkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk melahirkan modal insan mempunyai jati diri cemerlang. Kesejahteraan negara akan dapat dinikmati bersama seandainya tadbir urus dilaksanakan dengan beramanah tanpa sebarang penyelewengan dan pembaziran .


Sekolah Gedung Ilmu


Peranan para guru mendidik dan mencurahkan ilmu pengetahuan tanpa mengenal lelah dan jemu untuk memajukan pelajar sewajarnya mendapat pengiktirafan anggota masyarakat bukannya dicemuh , diperlekeh dan dipersendamainkan hanya disebabkan segelintir warga guru yang melakukan kesilapan. Tugas guru tidak hanya sebagai penyampai maklumat dibilik darjah tetapi menjadi ibu dan ayah kepada pelajar semasa mereka berada di sekolah.

Karenah Pelajar

Berdepan dengan karenah pelajar yang mempunyai pelbagai latarbelakang dan campurtangan dari ibu bapa sudah menjadi asam garam kehidupan seorang guru sehingga ada ketikanya sangat menguji kesabaran diri. Justeru tidak hairan ramai dalam kalangan guru yang mendapat penyakit darah tinggi dan gangguan sistem kardiovaskular yang memerlukan rawatan berpanjangan. Walau pun berdepan dengan berbagai cabaran namun kepuasan seorang pendidik terpancar bilamana pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Guru berhati mulia sentiasa mendoakan kejayaan anak didiknya . Sepertimana seorang Doktor akan merasa puas bila pesakitnya sembuh setelah merawatnya demikian juga guru berasa SUNGGUH GEMBIRA dengan kecemerlangan pelajarnya. Disini ingin saya mengambil kesempatan untuk berkongsi bersama pencapaian pelajar SMK Danau Kota . Bagi PMR tahun 2010 kita telah Berjaya melahirkan seramai 9 orang pelajar cemerlang straight As dengan peratus kelulusan keseluruhan sebnayak 85.22%. B agi SPM pula kita melahitkan 3 orang straight As dan peratus kelulusan sebanyak 83.11%. Saya percaya tanpa bimbingan guru , tiada orang yang boleh berjaya memegang jawatan tinggi seperti Hakim, Ahli Perubatan, Peguam, Arkitek, Pentadbir, Pengetua, Tentera, Polis , Ahli Politik, Wartawan , Ulama, Menteri malah Perdana Menteri sekali pun telah mendapat tunjuk ajar dari manusia yang bergelar guru.


Mendidik Tanggungjawab Bersama

Dalam usaha meningkatkan pembangunan modal insan(human capital) berdaya maju, sokongan dan dokongan ibubapa, masyarakat dan agensi yang bertanggungjawab perlu berganding bahu mendidik anak anak secara bersama kerana mereka adalah aset negara yang sangat berharga untuk menentukan kesinambungan bangsa. Kita tidak berupaya mencorakan pemikiran dan watak pelajar di luar lingkungan sekolah kerana mereka terdedah dengan pelbagai bentuk kegiatan dan hiburan yang tidak menguntungkan. Anak-anak remaja yang sedang mencari identiti diri memerlukan ikon yang boleh menjadi model kepada mereka untuk mencorakan masa depan yang lebih progresif . Peranan media sebagai saluran komunikasi bermaklumat seharusnya mampu memperkasa (enhance) minda pelajar dengan percambahan ilmu bukannya mencari keuntungan modal ekonomi semata. Laporan yang tepat, jelas dan akurat mengenai sesuatu insiden yang berlaku perlu disiarkan secara profesional dan bertanggungjawab bagi menjaga integriti sesebuah organisasi atau sekolah. Sekolah ialah premis kerajaan yang menguatkuasakan peraturan dan undang-undang bagi menjamin keselamatan , kesejahteraan dan keharmonian pelajar dan seluruh warganya berdasarkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) . Sikap sesetengah ibu bapa yang kurang prihatin terhadap anak-anak menyebabkan mereka memilih jalan sendiri, bergaul dan terpengaruh dengan rakan sebaya yang boleh menghancurkan masa depan mereka.




Pelajar pelajar SMKDK sedang mendengar ceramah kerjaya .

Peranan pelajar

Kekuatan dan kemajuan sesebuah negara bergantung kepada kecemerlangan modal insan yang bakal dilahirkan. Modal insan yang dimaksudkan ialah pembangunan intelektual pelajar yang dinamik, progresif dan futuristik sebagai tunjang kehidupan . Jadilah pelajar yang bermaruah, bermoral sejajar dengan ilmu yang kita miliki untuk mencari keredhaan Tuhan dan menyumbangkan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara .

Rumusan

Kecemerlangan pembangunan modal insan hanya dapat dicapai melalui konsep perkongsian tanggungjawab (sharing responsibility concept) berlandaskan semangat es spirit de corps yang menganggap sekolah sebagai milik bersama setiap anggota masyarakat , ibubapa, pengamal media dan agensi berwajib bagi menjamin kelestarian pendidikan negara yang kita dambakan tetap unggul dan berwibawa.

csyahya/pengetua smkdk 1 september 2011
ditulis berdasarkan pengetahuan dan pengalaman
PENGETUA .


Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...